Skip to main content
Berita TempatanSabah

Reda Anak Tunggal OKU Akibat Sawan

By 24 Disember 2017Tiada komen4 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan dan foto: Fauzrina Bulka (Sabah)

SEPANGGAR, 24 Dis (Malaysiaaktif) – Kudrat tuanya dikerah sepenuhnya demi anak tunggal yang perlu dibersihkan, dijaga mahupun dipimpin setiap hari kerana risau kalau-kalau sawannya datang lagi.

Begitulah rutin Pungut @ Sabariah Suhaili,63, yang mengasuh dan menjaga Mohd Syukri Rajah, 23, bagai menatang minyak yang penuh selepas menghidap sawan sejak usia empat tahun.

“Ruang bilik mandi kami sudah usang, selepas rumah ini dibina baharu, kami hanya menambah ruang tamu dan sebuah bilik sahaja, ruang mandi itu di bahagian rumah lama bersama dengan dapur.

“Dinding bilik mandi ini dulu dibina separuh, dan ada tangga untuk menuruninya, jadi agak sukar dengan badan mak cik yang kecil dan sudah tua ini untuk memandikan anak mak cik.

Jainab bersama rombongannya meneruskan perjalanan memberi bantuan kepada penerima lain.

Jainab bersama rombongannya meneruskan perjalanan memberi bantuan kepada penerima.

“Dengan kehadiran Datuk Jainab bersama Jabatan Kebajikan dan agensi lain hari ini mak cik meminta bantuan kalau dapat diberikan kerusi roda atau dapat bantuan untuk ruang mandi baharu,” ujarnya sambil mengesat air mata.

Sabariah sudah puluhan tahun tinggal di Kampung Gudon di atas tanah miliknya sendiri, suaminya Rajah Ladja, 57, pula cuma buruh kasar yang memperoleh pendapatan jika ada pembinaan yang perlu disiapkan.

“Kalau tidak dipanggil bekerja, pak cik akan buat apa-apa sahaja pekerjaan sama ada membina reban ayam atau membaiki rumah, semua pasti dilakukan bagi mendapatkan rezeki.

“Perbelanjaan rumah kami sederhana saja, untuk keperluan Syukri yang paling penting lampin pakai buang yang perlu ditukar dua kali sehari, ubat-ubat boleh dapat percuma sahaja di hospital, makanan pun dia tidak begitu cerewet,” jelas Sabariah.

Dengan pendapatan suami yang tidak tentu, mujur Sabariah layak menerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dan juga Jabatan Kebajikan Masyarakat, sesekali Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan beberapa agensi juga turut datang menghulurkan bantuan.

“Bukan mak cik tidak mahu membantu mencari pendapatan, mak cik pun suka memasak, tetapi dengan keadaan anak mak cik yang terlantar agak menyukarkan mak cik untuk bergerak.

“Bulan Ramadan baru-baru ini juga kami habiskan hampir sebulan di Unit Kecemasan kerana dia diserang sawan, jadi mak cik perlu berikan sepenuh tumpuan pada dia.

“Cuma mak cik memikirkan masa depannya jika makcik dan pakcik sudah tiada, moga ada yang sudi menjaga Syukri, tapi buat masa sekarang bagaimana susah pun saya, biar saya sahaja yang jaga dia,” ujar Sabariah.

Sabariah ditemui dirumahnya selepas menerima kunjungan daripada Menteri Pembangunan Masyarakat Dan Hal Ehwal Pengguna Sabah, Datuk Jainab Ahmad Ayid dalam Program Pemimpin Bersama Rakyat (Sayangi Saudara Kita) anjuran Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM).

Seramai 150 penerima menerima bantuan berupa barangan dapur dan juga akaun simpanan Tabung Haji.

Tipah menunjukkan buku akaun Tabung Haji yang baru sahaja diterimanya.

Tipah menunjukkan buku akaun Tabung Haji yang baru sahaja diterimanya.

Seorang penerima, Tipah Ejun, 66, merasa gembira kerana terpilih menerima bantuan dan mempunyai akaun Tabung Haji sendiri.

“Sudah pasti saya mempunyai impian untuk ke Mekah jika panjang umur, selama ini saya tidak berkesempatan untuk membuka akaun tabung haji sendiri memandangkan anak-anak juga sibuk dengan kehidupan masing-masing.

“Suami juga sudah meninggal 10 tahun lalu dan jika berpeluang selepas ini saya dapat menabung di tempat yang betul dan moga ada rezeki untuk menunaikan haji atau umrah,” kata Tipah.

Sementara itu, Ketua Kampung Gudon, Mohadis Sabtu mengalu-alukan lebih ramai agensi untuk datang membantu mereka yang susah dan memerlukan bantuan.

“Penerima yang hadir hari ini terdiri daripada kalangan ibu tunggal, orang susah dan Orang Kelainan Upaya (OKU) daripada seluruh Dewan Undangan Negeri Sepanggar.

“Masih ramai yang memerlukan bantuan dan saya harapkan agensi atau NGO sudi datang ke sini dan kita sama-sama membantu lebih ramai lagi keluarga yang memerlukan,” katanya.

SF

Tinggalkan komen anda