Skip to main content
Berita TempatanSabah

Kidball Berkelana Timba Ilmu Di Sandakan

By 24 Disember 2017Tiada komen3 minit bacaan

Laporan & foto: Warman Wagiman (Sabah)

KOTA KINABALU, 24 Dis (Malaysiaaktif) – Perjalanan enam jam pada Jumaat, dengan jarak 331.48 kilometer merentasi Gunung Kinabalu dari Kota Kinabalu ke Sandakan, tidak sedikitpun melunturkan semangat.

37 pemain Kelab Bola Sepak Kidball, Sekolah Kebangsaan Sri Gaya iaitu Sekolah Berprestasi Tinggi, bersama lapan pegawai Pasukan Kidball FC, berkelana serta menimba pengalaman sempena Karnival Bola Sepak Scot 2017.

Kidball FC ditubuhkan pada
2011 dan dilancarkan secara rasminya oleh Pengarah Teknikal Program  Pembangunan Bola Sepak Negara, Lim Teong Kim pada 2014.

SK Sri Gaya merupakan sekolah pertama menjadi anak angkat Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA) Bandaraya Kota Kinabalu.

Sebelum bertolak ke Sandakan.

Sebelum bertolak ke Sandakan.

Presiden Kidball FC, Hashizan Hasbullah berkata penyertaan berkenaan merupakan program pembangunan bola sepak akar umbi yang dirancang bagi memastikan pemain mendapat pendedahan dan menimba pengalaman.

Menurutnya, keputusan pertandingan bukan keutamaan kerana peningkatan kualiti permainan dan mengenalpasti kelemahan untuk diperbaiki adalah objektif asas.

“Walaupun menyertai pertandingan bawah umur 12 tahun, tetapi pemain yang ada dalam pasukan berusia 9 hingga 11 tahun sebagai persediaan untuk kejohanan pada tahun depan.

“Pada kali ini, pengurusan Kidball FC turut membawa bersama pasukan bawah 16 tahun yang dinamakan sebagai Kidball X yang dianggotai bekas-bekas pelajar SK Sri Gaya dan pemain-pemain Kidball sejak 2011.

“Pasukan Kidall X ini merupakan kesinambungan program pembangunan bola sepak yang telah dirancang dan kita mahu melihat keberkesanan usaha tersebut,” jelas beliau.

Sementara itu, Ketua Jurulatih Kidball FC bawah 12 tahun, Musa Abd Rahman memberitahu  penyertaan Kidball FC pada karnival bola sepak Scot merupakan pendedahan dan pengalaman berharga untuk pemain dan jurulatih terlibat.

Katanya, pertandingan itu sebagai persiapan awal bagi memastikan Kidball FC dapat memberi saingan dan menjuarai kejohanan bola sepak sekolah-sekolah peringkat zon pada tahun depan.

“Kita menyasarkan kejuaraan Zon Tanjung Aru pada tahun depan. Oleh itu,  kita membawa pemain berusia 9 hingga 11 tahun untuk memberi keyakinan dan memastikan pemain mempunyai semangat perjunagan yang kental.

“Kita juga mencuba beberapa formasi dengan pemain-pemain yang berbeza untuk mencari keserasian pasukan dan mengenalpasti kelemahan sebagai persiapan awal untuk membaikinya,” kongsi Musa.

Musa yang dibantu Johan Raus A Aziz sebagai Penolong Jurulatih turut mengingatkan pemain untuk terus mengekalkan kecergasan dengan mengadakan latihan ringan dan memperbaiki serta menguasai segala teknik asas bola sepak yang telah dipelajari.

Pengurus pasukan.

Pengurus pasukan.

Dalam pada itu, bagi pasukan bawah 16 tahun Kidball X yang dibimbing oleh Jaafar Mohd Yusuf sebagai Ketua Jurulatih dan Warman Wagiman sebagai penolong, berpuas hati dengan pencapaian mereka.

Dengan latihan tidak sampai sebulan, para pemain mempamerkan kualiti permainan, keserasian serta semangat berpasukan yang tinggi.

Kidball FC Rai Tempat Kedua Karnival Bola Sepak Scot 2017

Berada di kedudukan kedua dan Putra Danial Hasyim membolot Anugerah Pemain Terbaik dan Penjaring Terbanyak merupakan pencapaian yang sangat membanggakan.

Walaupun pemain-pemain dari beberapa buah sekolah di sekitar Kota Kinabalu dan Tenom, namun kekuatan ikatan persahabatan semasa bersama di Sk Sri Gaya menjadi pemangkin kemantapan pasukan.

Bagi pengurus pasukan, Othman Abdullah menyampaikan penghargaan dan terima kasih kepada pengurusan sekolah dan ibu bapa terutamnya yang turut serta memberikan sokongan.

“Ini merupakan ramuan terbaik antara pihak sekolah dan ibu bapa dalam usaha membangunkan bola sepak negara,” katanya.

Manakala, Guru Besar SK Sri Gaya, Alhazmi Abdullah menzahirkan terima kasih kepada semua pemain dan ibu bapa yang terlibat sama-sama membantu menjayakan program pembangunan bola sepak Kidball ini.

Alhazmi yang juga penasihat Kidball FC mengharapkan kerjasama sedia antara pasukan dan ibu bapa akan terus diperkukuh demi kemajuan bola sepak negara.

SF

Tinggalkan komen anda