
Laporan: Yahya Abdul Rajak / Foto: Azman Jumat & Mastim Kiriman (Sabah)
KOTA KINABALU, 24 Jan (Malaysiaaktif) – Tertubuh sejak April 1946, Jabatan Penerangan (JaPen) Sabah yang dikenali sebagai Pejabat Perhubungan Raya oleh kerajaan British Borneo Utara dan terus berubah kepada Pejabat Perkhidmatan Penerangan ‘Information Service’ yang berfungsi sebagai penyampai maklumat dari ‘Central Office of Information’, London untuk masyarakat setempat.
Sejak penubuhan tersebut, Japen Sabah terus menyusuri zaman menyimpan sejuta pengalaman pahit manis mencorak bersama membangunkan minda, identiti dan cinta kepada negara dalam kalangan setiap individu yang bergelar warganegara.
MENDEPANI KEBEBASAN
Impak kekalahan kerajaan British dengan Jepun merupakan permulaan era penubuhan JaPen di tanah Melayu pada 24 September 1945 di Kuala Lumpur yang dikenali sebagai Jabatan Cetak dan Publisiti sebelum dikembangkan ke seluruh negara sekitar 1946 bagi menyampaikan pelbagai maklumat pentadbiran kepada rakyat.
Rentetan peristiwa tersebut JaPen terus menyusuri zaman penyampai maklumat, merai sokongan rakyat bersatu bersama keluar daripada cengkaman penjajah untuk bebas mentadbir tanah air tanpa ada lagi peperangan dan penindasan.
Situasi ini menyebabkan JaPen Sabah mula mencipta identiti demi identiti daripada sebuah Pejabat Perhubungan Raya pada1946 dan kemudian lebih dikenali sebagai Jabatan Penerangan pada 1950 hingga kini.
Suka duka tugas sebagai lidah rasmi kerajaan menerangkan kepada rakyat terhadap falsafah, dasar dan masa depan, akhirnya Sabah bebas dan merdeka atas kerjasama rakyat bersatu berjuang mempertahankan hak peribumi rakyat.
CABARAN MENDEPANI TEKNOLOGI
Kini, penjajahan dan penindasan tidak lagi melalui peperangan tetapi melalui kepesatan teknologi digital yang merangkumi semua aspek kehidupan menjadi cabaran yang perlu dihadapi JaPen dalam mengekalkan jiwa cinta rakyat terhadap negara.
Perkembangan teknologi pantas ini menjadi amanat utama, Pengarah Japen Sabah, Swady Guliling yang menekankan JaPen perlu terus yakin, komited dan konsisten melakukan transformasi perkhidmatan di era teknologi ini.
Katanya, jabatan perlu mampu mempengaruhi masyarakat agar sentiasa yakin setiap dasar pentadbiran kerajaan (advocacy), membina jaringan komunikasi dalam memasarkan maklumat (engagement), mendekati kumpulan sasar (outreach) dan mampu menganalisis terhadap maklum balas rakyat (intelligence gathering) melalui penggunaan teknologi komunikasi digital dan bersemuka.
“JaPen perlu seiring dengan perubahan era dunia berteknologi hari ini. Justeru, saya berharap semua kakitangan di setiap peringkat pengurusan dan pentadbiran JaPen harus berubah dalam mendepani revolusi industrial dunia tanpa sempadan”, luahnya.
Katanya lagi, rakyat hari ini ialah masyarakat yang berevolusi terhadap teknologi, berinovasi dan kreatif mencipta.
“Oleh itu, setiap kakitangan di JaPen seharusnya mendahului teknologi ini kerana jangan biarkan teknologi menguasai tingkah laku kita tetapi biarlah kita mengawal teknologi untuk lebih seimbang dan bermanfaat.
“Kesan jika dikuasai teknologi membolehkan kita percaya apa-apa yang disampaikan dalam dunia media siber adalah benar yang akhirnya meruntuhkan martabat bangsa, tapi jika kita kawal dan mencipta teknologi, individu terbabit akan lebih berhati-hati dari terpengaruh terhadap elemen ‘auta’ daripada pihak tidak bertanggungjawab.
Jelas Swady, semasa menyampaikan amanat pada Mesyuarat Pengurusan pertama tahun 2018 di Wisma Dang Bandang pada Selasa.
TEROKAI, KUASAI TEKNOLOGI REVOLUSI INDUSTRI 4.0

Tinjauan ke Pusat Maklumat Rakyat Kota Kinabalu memperlihatkan masyarakat obses terhadap dunia Internet.
Memetik kata-kata Menteri Komunikasi dan Multimedia (KKMM) terhadap revolusi ini menjelaskan era ini nanti semua urusan kehidupan akan dilaksanakan secara digital.
Swady menjelaskan, era ini, persaingan media sosial berlaku bagi menarik perhatian para pembaca melayari maklumat atas talian.
“Suatu hari nanti pelajar akan mengikuti kuliah melalui video sahaja,” ujarnya.
Sehubungan itu, Swady menyarankan anggota JaPen untuk terus terokai, kuasai teknologi era berkenaan dalam usaha menjayakan misi jabatan menterjemah dan memasarkan dasar serta agenda negara untuk difahami, dihayati dan dibudayakan seluruh rakyat di negeri ini khususnya.
Jelasnya, kepesatan teknologi yang terus berkembang memasuki fasa revolusi industri 4.0 memerlukan Japen peka dan bertindak secara satu pasukan, mengukuhkan jalinan rakyat bersama pemimpin agar semangat cinta negara terus lahir di minda dan jiwa rakyat.
“Kita perlu melipatgandakan usaha dalam penyaluran maklumat kepada rakyat melalui pelbagai kaedah.
“Revolusi tersebut membantu kecekapan pengurusan dan penyampaian kerana semua kerja urusan seharian dilakukan secara digital.
“Hari ini sahaja kita mula merasai gelombang terbabit apabila pembayaran bil mahupun belanja seharian boleh dilakukan tanpa tunai, kiriman wang boleh dilakukan hanya di gajet.
“Perkembangan teknologi ini ialah cabaran jabatan untuk mengimplikasikannya pada tugasan seharian bagi mempengaruhi masyarakat terutama belia untuk sedar dan mempertahankan kedaulatan negara kerana mengisi kemerdekaan lebih sukar setelah memilikinya,” kata Swady lagi.
Tambah Swady lagi, sesungguhnya tugas menyampaikan maklumat benar dan sahih ini amat dituntut agama Islam seperti mana Sabda Nabi Muhammad SAW, “Sampaikanlah daripadaku walau satu ayat, dan ceritakanlah mengenai Bani Israil tanpa perlu takut. Dan barangsiapa berbohong ke atasku dengan sengaja maka bersiaplah dia mengambil tempatnya di neraka.” (Riwayat Bukhari).
Amanat beliau turut dipersetujui Timbalan Pengarah Japen, Supian Musa, katanya, telah tiba masanya Japen bangkit menyusun strategi mengorak langkah menuju revolusi perubahan dunia komunikasi.
Jelasnya, sebagai sebuah jabatan yang menjadikan komunikasi merupakan bidang utama, jabatan perlu segera lakukan perubahan agar rakyat dan pemimpin dapat berganding mencipta dan mewujudkan sebuah negara membangun lagi harmoni.
“Segala bahan penulisan baik berbentuk buku bacaan perlu digarap agar menjadi bahan bernilai sebagai rujukan serta disebarkan luas melalui pelbagai gajet komunikasi dalam membentuk sebuah media baharu di jabatan,” tambahnya lagi.
-SF