
Laporan oleh: Mohd Faizal Mansor / Foto: Azraf Affandy Azlan
LABUAN, 18 Jan (Malaysiaaktif)– Cadangan pembinaan jambatan untuk menghubungkan Pulau Labuan dengan tanah besar Sabah yang dinanti-nantikan oleh penduduk Labuan bakal direalisasikan melalui Blueprint Pembangunan Labuan 2030 yang dilancarkan pagi tadi.
“Ini merupakan penanda aras pembangunan Labuan. Cadangan pembinaan jambatan untuk menghubungkan Pulau Labuan dengan tanah besar Sabah, yang kini sedang dalam peringkat kajian kemungkinan atau “feasibility study” sebagaimana saya umumkan dalam Bajet 2018 pada Oktober lalu”, ujar Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak ketika melancarkan Blueprint Pembangunan Labuan 2030 di Dataran Labuan, pagi tadi.
Najib pasti bahawa pembinaan jambatan baharu ini akan menjadi “game changer” kepada pembangunan sosioekonomi Pulau Labuan, dengan meningkatan kesalinghubungan penduduk Pulau Labuan sambil menggalakkan pertumbuhan ekonomi yang lebih positif dengan membuka peluang-peluang baharu.
“Pembinaan jambatan ini juga seiring dengan hasrat Kerajaan untuk memastikan pembangunan negara dilaksanakan secara inklusif dan seimbang bagi menjamin kemakmuran rakyat Labuan keseluruhannya”,kata Najib lagi.
“Menerusi kajian ini, kita akan mengenalpasti pihak yang mampu melaksanakan projek ini, dengan mengambil kira kesan terhadap sosial, alam sekitar serta potensi ekonomi Pulau Labuan,” ujarnya lagi.
Pada majlis tersebut, Perdana Menteri turut menyaksikan penyerahan surat pelantikan konsultan kajian Jambatan Labuan ke Sabah tersebut kepada Syarikat HSS Integrated Sdn Bhd.