
Laporan dan foto : Mohd Baharruddin Mohamad / Remmy Sukup (Sarawak)
MUKAH, 15 Jan (Malaysiaaktif) – Penantian 15 tahun penduduk kampung Tellian Daya (Tellian Ulu) dan Kampung Seri Tellian (Tellian Tengah) untuk sebuah bangunan baharu Sekolah Kebangsaan Kampung Tellian bakal menjadi kenyataan apabila tapak seluas 10 hektar tersebut kini mula dibersihkan.
Menurut seorang penduduk tempatan, Rony Mujal, beliau amat mengharapkan agar projek pembinaan sekolah tersebut dapat disegerakan pembinaannya.
“Sudah lama tempohnya kami menunggu dan tidak sabar lagi untuk melihat bangunan tersebut siap. Apabila bangunan sekolah baharu ini siap kelak, kami sebagai ibu bapa dan penjaga anak-anak yang bakal bersekolah di sana nanti tidak lagi perlu bersusah payah menghantar anak-anak ke sekolah yang jauh dari rumah dan pastinya akan dapat membantu menjimatkan belanja isi rumah untuk bayaran tambang pengangkutan,” jelasnya.
Menurut seorang lagi penduduk kampung yang dikenali sebagai Ulai, beliau sangat bersyukur dan berterima kasih kepada kerajaan pusat dan kerajaan negeri kerana perihatin kepada penduduk kampung Tellian kerana nampaknya dapat menyelesaikan masalah penduduk kampung ini.
“Saya mempunyai 3 orang anak yang masih bersekolah dengan tambang pengangkutan sebanyak RM6 sehari ulang alik seorang maka saya mengeluarkan belanjar RM18 untuk tiga orang belum termasuk belanja makan tengahari.
“Sekiranya pembinaan sekolah ini disiapkan segera pasti penduduk kampung berasa sangat gembira malah duit perbelanjaan pun dapat dijimatkan untuk perbelanjaan lain,” jelasnya lagi.
Sekolah baharu nanti akan dilengkapi dengan kemudahan moden yang dapat menerokai potensinya untuk muncul sebagai antara sekolah terbaik di daerah tersebut.
– SH