Skip to main content
Berita TempatanSabah

109 Sekolah Rendah Di Sabah Dinaik Taraf Guna Sistem IBS

By 15 Januari 2018Tiada komen3 minit bacaan
Laporan & Foto: Mohammad Abdul Rahman (Sabah)

 

PAPAR, 15 Jan (Malaysiaaktif) – Sebanyak 109 buah sekolah di seluruh Sabah bakal dinaik taraf menggunakan Sistem Binaan Berindustri IBS bermula Mac ini.

Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlen berkata perdana menteri amat berpuas hati dengan sistem berkenaan apabila melawat ke Sekolah Kebangsaan Tanaki tahun lalu yang mempraktikkan sistem binaan tersebut.

“Bagi tahun ini sebanyak 109 buah sekolah rendah lagi di seluruh negeri ini akan dinaik taraf yang dijangka bermula pada Mac ini.

Rosnah (tengah) memakaikan beg sekolah kepada penerima akhir, Dexter (kanan).

Rosnah (tengah) memakaikan beg sekolah kepada penerima akhir, Dexter (kanan).

“Antara sekolah terpilih tersebut termasuklah Sek. Keb. Mook, Sek. Keb. Mandalipau, Sek. Keb. Beringis, Sek. Keb. Benoni, dan Sek. Keb. Limputong di Papar.

“Sehubungan itu, saya amat berterima kasih kepada Kerajaan Pusat terutama Perdana Menteri yang melihat keperluan menaik taraf sekolah-sekolah di Sabah melalui projek berkenaan,” kata Ahli Parlimen Papar itu lagi semasa mengadakan Kembara Kembali ke Sekolah di Se. Keb. Tanaki pada Jumaat.

Jelasnya lagi, kerajaan pusat telah meluluskan peruntukan sebanyak RM2.5 bilion merangkumi RM500 juta bagi Semenanjung Malaysia manakala RM1 bilion masing-masing untuk Sabah dan Sarawak yang dilaksana dalam tempoh dua tahun.

Sementara itu, Rosnah turut menjelaskan melalui arahan Menteri Kerja Raya baru-baru ini, satu Jawatankuasa Kerja, “Task Force” akan dibentuk bagi melicinkan perjalanan projek berkenaan, terutama di Sabah dan Sarawak.

Ujarnya, bagi Sabah, task force ini dipengerusikan olehnya sendiri manakala di Sarawak diketuai sendiri oleh Menterinya yang dianggotai oleh wakil Kementerian dan Jabatan Kerja Raya  (JKR) Negeri, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

“Mesyuarat pertama dijangka bermula selepas pelantikan kontraktor selesai pada akhir Januari ini manakala bagi Sabah, fasa pertama akan dilaksanakan tahun ini dengan peruntukan sebanyak RM500 juta, melibatkan 109 buah sekolah, 70 daripadanya dikendalikan oleh KPM, 35 lagi di bawah JKR Sabah dan baki RM 00 juta dilaksana pada tahun hadapan.

“Kita menyasarkan projek naik taraf sekolah ini siap dalam tempoh tiga hingga empat bulan dengan menekankan tiga aspek utama iaitu bilik darjah, makmal sains dan tandas, mengikut keperluan sekolah berkenaan,”  jelas Rosnah.

Rosnah turut mengagihkan bantuan barangan sekolah kepada 300 pelajar di empat buah sekolah iaitu Sek. Keb. Kogopon, Sek. Keb. Mandalipau, Sek. Keb. Kaiduan dan Sek. Keb. Tanaki serta sumbangan dana RM 5000 di setiap sekolah terbabit.

Dalam pada itu, penerima sumbangan, Dexter Darius Golingai, 11, berkata dia merasa amat gembira apabila terpilih menerima bantuan persekolahan sempena Program Kembara Back To School ini.

Rosnah (tengah) menyampaikan replika cek berjumlah RM 5000 kepada Jasri (kiri) disaksikan oleh Suhaimi (Kanan).

Rosnah (tengah) menyampaikan replika cek berjumlah RM 5000 kepada Jasri (kiri) disaksikan oleh Suhaimi (Kanan).

“Saya bersama rakan-rakan lain begitu teruja menerima sumbangan tersebut dan berazam untuk belajar bersungguh-sunguh selepas memperoleh bantuan berkenaan.

Katanya, kami semua merasa seronok dan gembira hari ini kerana menerima beg, baju, seluar, kasut sekolah baru, malah kami dapat bilik darjah cantik serta lebih luas dan selesa.

“Saya rasa seronok dan akan belajar dengan bersungguh-sungguh dalam pelajaran saya nanti”, katanya yang belajar di Sek Keb Tanaki.

Program tersebut ialah rentetan Program ‘Back To School’ lalu dengan kerjasama PLUS Malaysia Berhad, serta pihak Pejabat Pendidikan Daerah, Jabatan Penerangan serta semua agensi serta NGO yang terlibat.

SF

Tinggalkan komen anda