
Laporan dan foto : Aneta Ahmad & Aliffah Hanisfarhana Suhaidi (Kemaman)
KEMAMAN, 5 Jan (Malaysiaaktif ) – Kejadian air pasang besar di Kemaman sekitar pukul 11.45 malam tadi setinggi 3.6 meter telah mengakibatkan pertambahan mangsa terjejas banjir di beberapa pusat pemindahan di daerah ini dan terdapat pusat pemindahan baharu dibuka.
Perasaan sedih yang dilalui mangsa sedikit terubat apabila mendapat kunjungan Yang di-Pertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan di Pusat Pemindahan Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Mentok siang tadi yang menempatkan paling ramai mangsa banjir iaitu seramai 843 orang daripada 198 keluarga.
Dalam kunjungan tersebut, Tengku Muhammad Ismail menyampaikan sumbangan wang tunai RM200 kepada 198 ketua selain bertanya khabar.
Penerima wang sumbangan tersebut Mariam Maziah Wook, 67 berkata, beliau sangat gembira kerana menerima wang sumbangan itu daripada Raja Muda.
“Saya gembira kerana baginda turut menghulurkan sumbangan kepada mangsa banjir di sini,” ujarnya.
Selain itu, Tengku Muhammad Ismail juga dijangka melawat beberapa tempat dinaiki air lain seperti pusat permindahan sementara di Surau Pulau Tempurung, Dewan Orang Ramai Batu 14 dan Dewan Orang Ramai FELDA Seberang Tayor.