
Laporan & Foto Oleh: Mohemed Hirsham b. Azmi (Pontian)
PONTIAN, 11 Feb (Malaysiaaktif) – Program anjuran Kementerian Komunikasi & Multimedia Malaysia (KKMM) iaitu Negaraku: Menghubung dan Menyatu bersama dengan Jabatan Penerangan Negeri Johor telah berlangsung di Kampung Pak Kalib, Pontian hari ini.
SUB Kanan (Pengurusan) KKMM, Datuk Samsuni Mohd Nor berkata, Program seperti ini sedikit sebanyak dapat membantu meringankan bebanan penduduk kampung yang memerlukan dan juga membantu mereka untuk mendapatkan pendedahan informasi dunia luar.
Dalam program ini, seramai 30 warga Kampung Pak Kalib telah menerima bantuan berupa televisyen, peranti capaian siaran Astro nJOI dan juga barangan keperluan harian.
Menurut salah seorang penerima bantuan, Alias bin Baharom, 58, bantuan berupa barangan keperluan harian ini sedikit sebanyak dapat meringankan bebanan harian mereka dan beliau berasa amat bersyukur dengan keperihatinan daripada pihak kementerian sendiri kerana sudi melawat beliau di rumah.
Alias yang menghidap penyakit strok ini terlantar dirumah tidak dapat berjalan seperti biasa dan mengharapkan bantuan kerusi roda untuk bergerak.

Antara penerima bantuan yang hadir ke upacara perasmian majlis Negaraku: Menghubung dan Menyatu 2018
Sementara itu, majlis ini telah dirasmikan oleh Pegawai Daerah Pontian , Mohd Shukri Mohd Masbah. Di dalam ucaptamanya, beliau menyatakan bahawa masyarakat di Pontian ini sangat berterima kasih dengan inisiatif ini, khususnya penduduk di Kampung Pak Kalib sendiri di dalam usaha membangunkan sistem telekomunikasi dikawasan ini.

Mohd Shukri (tengah) bersama- sama penduduk Kampung Pak Kalib semasa acara penyerahan bantuan kepada warga kampung
“Jika kita hendak tunggu syarikat telekomunikasi swasta membina pencawang setelit di kampong ini, mereka tidak akan lakukan demikian kerana tidak membawa pulangan kepada mereka. Syukur, KKMM sendiri melakukan usaha dengan membina dan membangun jaringan komunikasi di kawasan ini demi menghubungkan masyarakat setempat dengan dunia luar,” ujar beliau.
- MRR