Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurHomeKelantan

Fiesta #AKOK25 Bakal Gamit 10 Ribu Pengunjung

By 1 Februari 2018Tiada komen2 minit bacaan

 

Β Laporan dan foto: Nur Shafira Mat Hussin (Pasir Puteh)

PASIR PUTEH, 1 Feb (Malaysiaaktif) – Lebih 10,000 pengunjung dijangka membanjiri Kompleks Uthmaniyah, di sini pada 8 hingga 10 Februari nanti bersempena dengan ulangtahun program paling popular di Kelantan FM iaitu ‘Apa Khabar Orang Kampung’ (AKOK) yang telah 25 tahun bersiaran sejak diterbitkan pada tahun 1993.

Pengarah Penyiaran Negeri Kelantan, Noriani Mohd Idris berkata pengisian fiesta di Pasir Puteh ini mempunyai kelainan tersendiri kerana ia memberi tumpuan kepada penyaluran informasi untuk rakyat setempat.

“Rakyat setempat dapat berinteraksi secara terus dalam pelbagai program dengan pemimpin seperti Menteri Belia Dan Sukan, Khairy Jamaluddin dalam sesi Town Hall.

“Ia bukan sahaja memberi ruang kepada pemimpin dan rakyat untuk penjelasan isu semasa bahkan mengeratkan hubungan khususnya bagi golongan muda,” tambahnya lagi.

Pelbagai aktiviti yang akan diadakan seperti Forum Perdana Ehwal Islam, studio mini Kelantan FM, jalan kaki rakyat, Basikalton Parlimen Pasir Puteh, pameran jabatan dan agensi kerajaan serta gerai-gerai jualan turut akan mewarnai program 3 hari sempena fiesta tersebut.

Ahli Dewan Undangan Negeri Kawasan Semerak, Datuk Haji Zawawi Haji Othman berharap program yang dirancang akan berjaya dan berjalan dengan lancar.

“Kerjasama dan usaha daripada penganjur iaitu Radio Televisyen Malaysia serta jabatan mahupun agensi terlibat wajar dipuji kerana sentiasa berusaha mendekati rakyat dalam usaha menyampaikan dasar dan hasrat murni kerajaan membantu rakyat.

“Justeru itu saya menggalakkan dan berharap rakyat setempat bahkan pengunjung dapat menggunakan peluang ini untuk mendapatkan pelbagai khidmat yang disediakan,” ulasnya ketika sidang media siang tadi.

-SH

Tinggalkan komen anda