
Laporan Oleh Fasharina Kholil / Rasidi Che Sa
SIK, 26 Feb (Malaysiaaktif) – Program jualan sentuhan rakyat terus mendapat sambutan apabila hampir 1500 penduduk tempatan mengunjungi program tersebut yang diadakan Khamis lalu di Perkarangan Masjid Belantek, di sini.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Pembangunan Luar Bandar dan Pembasmian Kemiskinan Negeri Kedah merangkap ADUN Belantek, Datuk Hj Mohd Tajuddin Abdullah, program ini merupaka salah satu usaha kerajaan dalam membantu rakyat khususnya golongan berpendapatan rendah berbelanja barangan keperluan harian pada harga yang lebih murah.
“Program ini salah satu inisiatif kerajaan dalam membantu rakyat dan jelas menunjukkan kerajaan sentiasa prihatin akan rakyat,” jelas beliau dalam ucapannya.
Sementara itu, menurut Ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Surau, Dalmataksiah Hassan, penganjuran program ini secara tidak langsung dapat membantu komuniti setempat mendapatkan barangan keperluan dengan harga lebih rendah daripada harga pasaran.
Dalam pada itu, menurut seorang pengunjung, Zuraini Abdul Rahman, 36, beliau tiba lebih awal kerana khuatir tidak sempat mendapatkan barangan basah seperti ikan dan ayam.
” Saya bersyukur kerana dengan adanya program jualan seperti ini penduduk kampung seperti kami dapat membeli barang-barang kegunaan harian pada harga yang jauh lebih murah daripada kedai ataupun pasaraya,” tambahnya lagi.
Program anjuran Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Negeri ini turut mendapat kerjasama daripada Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM), Pasaraya ANEKA serta UMNO Bahagian Sik.
- MRR