
LAPORAN : Asmidar Zainol / FOTO : Abdullah Sani Ariff Lokhman & (Sabah)
KOTA BELUD, SABAH, 24 Feb. (Malaysiaaktif) – Lebih 650 penduduk Kampung Timbang Dayang terima manfaat daripada pembinaan Telaga Tiub di kampung berkenaan.
Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM), Datuk Seri Dr Mohd Salleh Said Keruk berkata, telaga yang siap dibina pada 10 Ogos 2017 itu mampu menjana 120 ribu liter air bagi kegunaan penduduk di situ.
“Projek berkenaan dilaksanakan oleh Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) di bawah projek Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK-11) menunjukkan pengeluaran sistem telaga berkenaan adalah 120,000 liter sehari dengan mengambil kira pengepaman secara berterusan selama 10 jam sehari.
“Kerajaan telah membelanjakan sebanyak RM90,000 untuk menampung kos kerja-kerja siasatan tapak, membina telaga tiub dan membangunkan sistem telaga bagi memastikan rakyat menikmati kemudahan asas bekalan air bersih khususnya untuk penduduk Kg. Timbang Dayang ini.
“Diharap penduduk kampung dapat memanfaatkan sepenuhnya kemudahan ini bagi mengurangkan kebergantungan kepada air graviti dan paip awam atas disebabkan tekanan air yang rendah,” ujarnya.
Tambah Salleh, dalam RMK-11, JMG melaksanakan Projek Pembangunan Sumber Air Tanah di Kawasan Bermasalah Air Bersih bertujuan mengenalpasti kawasan yang mempunyai masalah bekalan air dan mempunyai potensi sumber air tanah.
“Melalui projek ini, telaga tiub dan sistem telaga dibina untuk kegunaan orang ramai dan pada masa sekarang JMG Sabah sedang menjalankan Projek Penilaian Rezab Air Tanah di Kawasan Lembangan Tempasuk-Kedamaian, Kota Belud.
“Hasil penilaian ini diharap boleh digunakan untuk pembangunan sumber air tanah sebagai bekalan air untuk kegunaan rakyat dalam kawasan ini dan juga untuk kegunaan aktiviti pertanian,” katanya.
Beliau turut menyeru penduduk kampung berkenaan untuk menubuhkan Jawatankuasa Telaga Tiub bagi mengurus dan menyelenggara kemudahan kemudahan tersebut.
Hadir sama Pengarah JMG Sabah, Mohd. Yusof Ramli dan Pengarah Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Sabah, Datuk Japlin Akim.
-MRR