
LAPORAN : Asmidar Zainol / FOTO : Abdullah Sani Ariff Lokhman & (Sabah)
KOTA BELUD, SABAH, 24 Feb. (Malaysiaaktif) – Persatuan Pelancongan Kadamaian (KATA) menubuhkan Kumpulan Pemikir dalam usaha meningkatkan produktiviti pelancongan di kawasan tersebut.
Pengerusinya, Walter Kandayon berkata, penubuhan tersebut adalah sebagai satu cara untuk meningkatkan produktiviti eko pelancongan di Kadamaian.
“Selain mewujudkan KATA, kita juga giat mengadakan program seperti kursus-kursus kesedaran dengan kerjasana NGO, jabatan dan agensi kerajaan.
“Kita juga telah mendapat kelulusan permit daripada Taman-Taman Sabah (TTS) terhadap 10 buah kampung yang bersempadanan dengan TTS seperti di Gunung Nongkok,” katanya.
Menurut Walter, sejak eko pelancongan diwujudkan pada 2017, seramai 80 ribu pelancong telah melawat Kadamaian dengan jumlah pendapatan hampir RM900 ribu terus kepada komuniti.
“Pada tahun ini KATA telah dipilih sebagai perintis pembangunan pelancongan luar bandar di Sabah dan kami menyasarkan 200 ribu pelancong ke sini dengan jumlah pendapat sebanyak RM2 juta.
“Bagi tujuan tersebut, persatuan juga telah mengadakan beberapa program yang besar antaranya Kadamaian Eco Challenge, Bulan Melawat Kadamaian, dan menyertai pameran-pameran dalam negeri dan juga di peringkat kebangsaan selain menghantar ahli kami menyertai kursus di Ascot Academy.
“Kami juga menyasarkan untuk mendapat pengiktirafan dan anugerah bagi dua daripada 41 eko pelancongan di peringkat negeri pada tahun ini selain melaksanakan penerapan 3 atau 4 Bintang di peringkat pelancongan luar bandar,” ujarnya.
Walter berkata demikian semasa menyampaikan ucapannya di Program Santai Bersama Ahli Majlis Tertinggi dan Kumpulan Pemikir KATA di Kampung Tambulion pada Jumaat.
Hadir sama pada program adalah Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Usukan, Datuk Seri Dr Mohd Salleh Tun Said.
-MRR