
Laporan oleh : Salwa Abd. Razak
Jurufoto : Syed Ahmad Farhan
JERLUN, 15 Feb (Malaysiaaktif) – Inisiatif Melastari Pembangunan Komuniti (1MPAK) merupakan program kerajaan yang diterajui oleh Majlis Amanah Rakyat (MARA) dengan memberi penekanan terhadap peluang pekerjaan telah mengadakan siri jelajahnya ke Jerlun.
1MPAK merupakan inisiatif baru kerajaan melalui Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, yang telah diamanahkan untuk membawa masuk industri bernilai tinggi ke kawasan luar bandar yang sekaligus akan membawa peluang pekerjaan baharu, ini dinyatakan Pegawai MARA Daerah Kubang Pasu, Azizah Ahmad.
Menurut Azizah lagi, sasaran awal sebanyak 250, 000 pekerjaan baharu dalam tempoh 10 tahun. 1MPAK akan berkerjasama dengan 70 syarikat industri yang berbeza seperti industri perkhidmatan, perniagaan, elektrikal, automotif dan aeroangkasa.
Katanya lagi, 1MPAK merupakan sebuah program turun padang oleh MARA dengan membawa pemain-pemain industri ke lokasi terpilih di seluruh negara dengan memberi peluang kepada golongan belia untuk berinteraksi secara terus dengan wakil industri untuk tujuan pemadanan.
Menurut seorang peserta yang hadir, Muhammad Farhan Farqhuhar,26, melahirkan rasa syukur dan amat berterima kasih kepada kerajaan yang bersungguh-sungguh membantu para belia luar bandar untuk mendapat pekerjaan.
“Program ini memang terbaik dan memudahkan para belia luar bandar untuk mendapat maklumat pekerjaan yang di minat,” ujarnya lagi.
Program ini telah dirasmikan oleh Timbalan Menteri Kewangan 1 merangkap Ahli Parlimen Jerlun, Datuk Othman Aziz dan turut dihadiri oleh ADUN Kota Siputeh, Datuk Abu Hassan Sharif serta barisan kepimpinan Barisan Nasional Bahagian Jerlun
– MRR