
Laporan Oleh Fasharina Kholil dan Rasidi Che Sa
SIK, 08 Mac (Malaysiaaktif) – Program Kembara Kebajikan 1Malaysia Dun Belantik berjaya mencapai misinya apabila hampir 400 orang penerima mendapat manfaat daripada program tersebut.
Program anjuran Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Sik dengan kerjasama pelbagai jabatan/agensi kerajaan, swasta serta pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO) ini mensasarkan para pelanggan jabatan serta melaksanakan konsep Cari dan Bantu di kawasan Dun Belantek.
Majlis pelepasan konvoi “flag off” telah disempurnakan oleh Pegawai Khas Ahli Parlimen Sik, Ardenan Dollah di Perkarangan Pejabat Kemajuan Masyarakat Daerah Sik, selasa lalu.
Konvoi ini disertai oleh 25 buah kenderaan bermotor pelbagai jabatan/agensi kerajaan,swasta serta NGO terlibat.
Menurut Pegawai Kebajikan Masyarakat Daerah Sik, Yahya Khatib, kembara ini akan memberi tumpuan kepada program ‘Search And Help’ bagi mengenal pasti rakyat yang layak menerima bantuan daripada JKM.
“Program ini merupakan mekanisme penting bagi memastikan tiada rakyat yang tercicir dan terpinggir daripada mendapat bantuan dan juga perkhidmatan daripada kerajaan,” jelasnya lagi.
“Jadi melalui program sebegini rakyat di peringkat akar umbi akan mendapat manfaat melalui pendekatan khidmat sosial bagi meningkatkan kesejahteraan rakyat,” katanya lagi.
Yahya turut mengucapkan terima kasih kepada semua yang terlibat bagi menjayakan program ini dan berharap kerjasama padu ini akan berterusan dari masa ke masa.
– MRR