
Laporan dan Foto Oleh:
Norhayati Yusoff dan Azman Yahaya
KUALA KEDAH, 6 Mac (Malaysiaaktif) – “Saya amat bersyukur, terkejut dan gembira dengan keputusan yang diperoleh sebentar tadi. Ini ialah hadiah untuk ibu dan ayah,” ujar pelajar cemerlang STPM Negeri Kedah, Cheam Yean Quen, 20.
Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Sharifah Rodziah ini memperoleh keputusan cemerlang 4A dengan Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 4.0 dalam peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2017 meletakkan dirinya antara pelajar cemerlang STPM Negeri Kedah tahun 2017.
“Sokongan daripada keluarga dan juga guru di sekolah antara penyumbang utama kepada kejayaan saya.
Selain itu, sentiasa fokus dalam kelas dan mendengar kata guru penting supaya apa yang disampaikan dapat difahami dengan lebih jelas,” katanya lagi.
Ditanya mengenai perancangannya selepas ini, Cheam berminat dan bercita-cita untuk menyambung pelajarannya di Universiti Malaya (UM) dalam jurusan Sarjana Muda Perundangan.
Dalam pada itu, guru SMK Tun Sharifah Rodziah, Norazira Husain berkata, Cheam bukan sahaja cemerlang dalam akademik malahan dia juga aktif dalam aktiviti kokurikulum di sekolah.
“Selaku guru saya meletakkan keyakinan tinggi bahawa Cheam boleh berjaya berdasarkan prestasi baik yang ditonjolkan sejak dari penggal satu lagi,” katanya.
Sementara itu, bekas Guru Penolong Kanan Tingkatan Enam, Mohd Nasrul Nizam Abu Bakar, berkata, “semua pihak termasuk guru dan ibu bapa bersama-sama berkorban masa dan tenaga bagi melahirkan pelajar-pelajar cemerlang ini,” ujarnya ketika ditemui di Majlis Pengumuman Rasmi Keputusan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia SMK Tun Sharifah Rodziah hari ini.
Menurutnya lagi, Kementerian Pendidikan Malaysia telah mewujudkan Kerangka Konseptual Tingkatan Enam yang merangkumi dua komponen utama iaitu kurikulum dan kokurikulum dan tiga kemahiran utama telah diterapkan dalam pendidikan Tingkatan Enam iaitu kemahiran kognitif, kemahiran manipulatif dan kemahiran insaniah (soft skills).
Tambahnya lagi, “kerajaan melalui KPM telah memberikan banyak kemudahan dan inisiatif dalam membantu para pelajar agar berjaya dengan keputusan cemerlang dan seterusnya mencapai hasrat kerajaan melahirkan pelajar minda kelas pertama.”
Secara keseluruhannya pencapaian pelajar STPM di SMK Tun Sharifah Rodziah pada tahun ini meningkat berbanding tahun-tahun yang lalu.
– MRR