
LAPORAN: Asmidar Zainol / FOTO :Jeffren Malaning (Sabah)
KOTA BELUD, SABAH, 13 Mac (Malaysiaaktif) – Pengunjung yang hadir menonton Demonstrasi Kesiagaan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) meluahkan rasa amat teruja dengan aksi yang di persembahkan di Padang Lapangan Terbang, Kota Belud pada Ahad.
Guru di Sekolah Kebangsaan Tempasik 2, Lucilla Anggun, 48, berkata, dia datang ke program berkenaan bersama 20 ahli keluarga bagi memberi sokongan kepada bapanya, bekas anggota Tentera Darat, Anggun Sugad, 77.
“Kami hadir ke program ini sebagai memberi sokongan kepada bapa dan pihak ATM selain dapat mengimbas kembali kenangan semasa bapa bertugas dalam tentera dahulu.

Anggun (dua dari kiri) dan anaknya, Lucilla (empat dari kanan) bergambar antara keluarga yang hadir di program berkenaan.
“Rasa teruja dapat melihat aset-aset tentera dan demonstrasi hari ini yang menunjukkan keberanian serta kemampuan anggota-anggota ATM,” katanya kepada pemberita.
Tambah Lucilla, dia dan keluarganya cukup yakin dengan kemampuan pihak tentera dalam mempertahankan keselamatan negara.
“Sekiranya berlaku sesuatu kepada negara, kami tidak ragu-ragu dengan keupayaan mereka dan percaya sepenuhnya kepada kemampuan pihak ATM dalam mempertahankan negara,” ujarnya.Selain itu, dia juga berkata melalui pameran dan demostrasi yang dianjurkan pihak ATM itu, secara tidak langsung dapat menarik minat para pelajar di kawasan berkenaan kepada kerjaya sebagai anggota tentera.
“Oleh kerana sekolah tempat saya mengajar dekat dengan kem tentera ini, saya dapat lihat sejak raptai lagi, para pelajar begitu tidak sabar-sabar untuk menunggu hari ini kerana kerap mendengar dan melihat kapal terbang berlegar-legar di udara selain dapat lihat penerjun-penerjun payung terjun sehingga ada yang berkata mahu menjadi seperti anggota tentera tersebut,” kongsinya.
Sementara itu, bapa Lucilla, Anggun turut berkongsi kegembiraannya kerana dapat mengimbau kenangan sewaktu berkhidmat dalam ATM.
“Semangat masih ada dan rasa gembira kerana dapat melihat pameran dengan lengkap bersenjata.
“Paling diingati adalah semasa melihat aksi penerjun payung terjun turun, rasa sangat teruja, berdebar-debar macam saya sendiri yang beraksi,” katanya ketawa mengimbau kenangan 20 tahun lalu.
Dia merupakan antara anggota yang terawal menyertai Dua Renjer atau Sabah Renjer iaitu pasukan tentera pertama di Sabah selain pernah berkhidmat di Enam Renjer dan 507 dalam Tentera Darat.
Sepanjang perkhidmatannya, Anggun pernah terlibat di barisan hadapan dalam Operasi Indonesia yang menghalang pembentukan Malaysia, bertugas semasa percubaan pihak Filipina mengambil alih Sabah dan juga pernah memerangi komunis di sempadan Thailand di Semenanjung dan di Sarawak.
Sementara itu, suri rumah Veronica Daruan, 35 dari Kampung Bayayat gembira kerana dapat bersama-sama keluarganya ke program berkenaan.
“Hari ini saya datang bersama suami dan empat anak-anak serta keluarga rakan yang datang dari Sarawak.
“Kami hadir supaya dapat mendedahkan mereka kepada aktiviti ketenteraan kerana suami saya sendiri merupakan seorang anggota tentera.
“Anak saya yang sulung paling tidak sabar sejak sesi raptai kerana asyik meminta untuk membawanya ke sini.
“Hari ini, sejak awal pagi lagi mereka telah bangun dan ajak saya cepat-cepat datang ke sini,”kongsinya.
Veronica turut berkongsi keterujaan bertemu dengan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.
“Saya begitu teruja dan bersemangat apabila dapat berjumpa dengan Menteri Pertahanan hari ini dan sempat bergambar dengan beliau.
“Rasa bangga kerana Datuk Seri melayan kami dengan begitu mesra dan dia turut memberi semangat kepada isteri dan anak-anak tentera di sini,”katanya gembira.
Demonstrasi Keupayaan tersebut melibatkan aset setiap perkhidmatan ATM antaranya helikopter Agusta, Fennec EC725, Nuri dan pesawat pejuang FA-18D Hornet dan Hawk, pesawat pengangkut C-130, kenderaan Gempita, perisai Lipan Bara dan anggota Briged Para, Pasukan Khas Udara (PASKAU) dan Pasukan Khas Laut (PASKAL).
ATM turut mengadakan pameran statik dan aset di lokasi demonstrasi bermula jam 10 pagi hingga 6 petang dan dibuka percuma kepada orang awam.
Hampir lima ribu penduduk Kota Belud memenuhi Lapangan Udara Kota Belud bagi menyaksikan Demostrasi Kesiagaan ATM dalam mempertahankan kedaulatan dan keselamatan negara.
- MRR