Skip to main content
Berita TempatanHomeSabah

Hiasan Lepa, Igal-igal Warisan Asli Turun Temurun

By 22 April 2018Tiada komen5 minit bacaan

Laporan oleh: Fauzrina Bulka/Foto: Azman Jumat(Sabah)

 

SEMPORNA, 22 Apr(Malaysiaaktif) – Sambutan Jubli Perak Regatta Lepa ke-25 baru sahaja melabuhkan tirainya malam tadi manakala Anugerah Lepa Unggul juga sudah diumumkan pemenangnya.

Lepa Abisa milik Haji Biskai Mastal merupakan juara bertahan dan telah pun disebut-sebut oleh pengunjung kerana mempunyai hiasan yang menarik dan menjadi tumpuan pengunjung di Dataran Lepa.

1Bertemu orang yang bertanggungjawab menghias Lepa Abisa bukanlah asing bagi beliau kerana Kamariah Sulaiman, 57 merupakan menantunya, yang berpengalaman puluhan tahun dalam bidang jahitan.

Minat yang mendalam serta sering memerhatikan ibunya menjahit mendorong Kamariah belajar mengenainya ketika baru berusia lapan tahun.

“Emak saya tidak pernah melarang saya belajar menjahit malah selalu beri galakan supaya saya dapat mewarisi seni asli jahitannya.

“Bukan sahaja saya menjahit hiasan di lepa, tetapi baju lepa juga suda banyak saya hasilkan dan mendapat kepercayaan ramai untuk menghantar tempahan,” katanya.

Menurut Kamariah, hiasan Lepa Abisa yang dihasilkannya mengambil masa satu bulan untuk di siapkan dengan bantuan empat orang pembantu termasuk anaknya.

Hiasan yang terdapat di Lepa Abisa

Hiasan yang terdapat di Lepa Abisa

Memegang pesanan ibunya untuk menggunakan empat warna utama iaitu paduan merah, kuning, putih dan hitam supaya hiasan lepa kelihatan menyerlah dan lebih menarik.

Walaupun begitu, dengan bantuan kaca mata, beliau masih mampu menjahit sendiri labuci pada ‘sambulayang’ dengan menggunakan tangan.

“Hiasan ‘Salinguru’ yang diletak melintang di lepa bole disiapkan sebanyak dua helai sehari dipilih menggunakan kain kilat dan satin iaitu kualiti yang terbaik supaya boleh digunakan semula dalam tempoh tiga hingga empat tahun akan datang.

Sambulayang yang diikat di Bambu Kayawan, dihias dengan saling guru yang diletak memanjang beserta tipas-tipas disusun ditepi lepa.

Sambulayang yang diikat di Bambu Kayawan, dihias dengan saling guru yang diletak memanjang beserta tipas-tipas disusun ditepi lepa.

“Saya juga ajar anak-anak menjahit supaya dapat membantu dan terima tempahan kerana buatan orang lain tidak sama macam jahitan saya dan yang penting saya tetap kekalkan keaslian.

“Ramai yang buat hiasan lepa tidak tahu ciri-ciri asli yang perlu ada bagi melengkapkan lepa yang cantik seperti ciri-ciri sambulayang, saling guru, tipas-tipas, panisil dan sagnatan kulambuk.

“Malah bambu yang diletak di twngah-tengah Lepa Abisa untuk menampung sambulayang juga menggunakan bambu ‘kayawan’ yang hanya boleh diperoleh di kampung-kampung.

“Bentuk sambulayang yang asli pula mestilah ada lima juraian mengikut bentuk jari tangan yang diterbalikkan dan membawa maksud solat lima waktu bagi meraikan penerimaan agama Islam pada waktu dahulu,”jelasnya yang tegas mengekalkan ciri-ciri asli pada hiasan lepa.

Sementara itu, anak Kamariah yang juga Ratu Lepa 2017 Noorainah Manurat, 24 berpendapat penglibatan generasi muda dalam penganjuran Regatta Lepa harus digalakkan bagi menanam dalam hati sifat cintakan budaya sendiri.

Noorainah mengayakan baju lepa berlatarbelakang sambulayang.

Noorainah mengayakan baju lepa berlatarbelakang sambulayang.

“Dalam bidang penghiasan perahu lepa sperti kemahiran menghias perahu lepa seperti menjahit sambulayang,tipas-tipas, Saling Guru dan Panisil perlulah kreatif untuk memadankan warna yang menarik.

“Generasi muda juga harus tahu alat-alat muzik tradisional Bajau seperti Gong, Kulintangan dan Tambul serta dapat menguasai tarian igal.

kulintangan yang dimainkan di dalam lepa.

kulintangan yang dimainkan di dalam lepa.

“Pelbagai muzik tradisional seperti Tavawan, Luvak-luvak, Lellang,Tarirai dan Limbayan akan dimainkan khusus untuk tarian igal manakala muzik Lagbanak pula khas untuk kaum lelaki untuk tarian Sayau dan Kuntau.

“Semua tradisi bangsa Bajau ini harus sama di pupuk rasa sayang dalam hati kerana orang muda kini semakin melupakan budaya sendiri,”katanya.

Dalam pada itu, salah seorang pengunjung Norazli bin othman, 42 yang bertugas di KD Sri Semporna, Tentera Laut Diraja Malaysia kelihatan berbasikal ketika mengunjungi pesta tersebut.

“Kami sedia maklum pesta ini akan diadakan dalam minggu ini, jadi saya mengambil peluang berbasikal daripada pangkalan KD Sri Semporna ke sini untuk turut sama menyaksikan Regatta Lepa.

Norazli (dua dari kiri) berbasikal bersama teman-temannya.

Norazli (dua dari kiri) berbasikal bersama teman-temannya.

“Setiap kali sambutan pesta ini semua memang maklum pasti akan berlaku kesesakan jalanraya, pengunjung pula ramai kerana bukan setakat rakyat tempatan malah pelancong asing.

“Jadi untuk mengelakkan jalan yang pasti sesak, parkir pula kurang maka saya datang berbasikal bersama lima rakan yang lain,”ujarnya.

Norazli gembira pesta Regatta LepaΒ  diadakan secara tahunan kerana menurutnya salah satu tujuannya ialah untuk mempromosikan budaya tempatan.

“Lagipun Semporna memang dikenali oleh pelancong untuk menikmati keindahan pulau-pulau, disamping itu juga mereka boleh mengenali budaya setempat kerana itu yang utama.

“Dalam masa yang sama ia turut menjana ekonomi di kawasan sekitar ini dan kehadiran saya sendiri pun dapat sama-sama mempelajari budaya penduduk disini,”katanya yang berasal dari Perak.

Sementara itu juga, Pengerusi Jawatankuasa Pelaksana, Datuk Hajan Gurimbang berkata walaupun penganjuran jubli perak tahun ini beberapa kali ditangguhkan namun beliau tetap menguatkan semangat untuk meneruskan acara ini.

“Sebagai anak watan daerah Semporna yang perlu mengangkat budaya bangsa untuk mendepani cabaran pastinya budaya Regatta Lepa ini akan diteruskan.

“Justeru Persatuan Kesenian Bajau Semporna bertanggungjawab untuk menjayakan prohram ini malah kerajaan negeri serta Kementerian Pelancongan juga turut membantu bagi menjayakan program ini.

Datuk Hajan Gurimbang

Datuk Hajan Gurimbang

“Kita juga menggabungkan Pesta Igal Antarabangsa di mana para peserta dari luar negara seperti Filipina dan Indonesia turut serta selama tiga hari untuk membuat persembahan,”jelas Hajan.

Beliau juga turut mengekalkan acara sukan laut seperti acara berenang, lumba perahu dan selam lama antara acara wajib setiap kali penganjuran Regatta Lepa.

“Sukan laut adalah merupakan kehidupan masyarakat disini, kerana lepa inilah tempat mereka menjalani kehidupan sebagai nelayan.

“Justeru sukan laut ini memang harus kita tekankan sebab ini menjadi adat dan budaya bagi suku kaum Bajau daerah semporna.

“Sambutan tahun ini juga agak berlainan sebab kita mengangkatnya sebagai pesta Regatta Lepa Antarabangsa apatah lagi setelah pelancaran Pusat Pelancongan Antarabangsa di sini, maka Regatta Lepa antara pengisiannya.

“Harapan saya pada masa akan datang kerajaan akan terus membantu program ini sebab dengan adanya program ini pelancong-pelancong dari luar negara akan datang untuk menyaksikan sendiri bagaimana keunikan Semporna.

“Sambulayang itu melambangkan perayaan, Lepa itu melambangkan perjalanan ke satu tempat yang kita tuju disamping mencari kehidupan manakala budaya itu adalah lambang perpaduan bangsa Bajau Semporna,”ujarnya.

 

 

-MRR

Tinggalkan komen anda