
Laporan : Parimala Devi Suppiah Foto : Mohd Shazreen Suradi (Jelebu)
JELEBU, 27 April (Malaysiaaktif) – Seramai 111 orang pemilik bersyukur kerana berjaya mendapat kunci rumah generasi kedua di Felda Pasoh 1 hari ini.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Jalaluddin Alias, rumah yang bernilai hampir RM160,000 ini hanya dijual dengan harga RM90,000 kepada anak-anak generasi kedua felda untuk meringankan beban mereka.
“Projek ini merupakan yang pertama di Negeri Sembilan dan kerajaan negeri akan membina lebih banyak lagi projek perumahan sebegini untuk golongan muda supaya mereka mampu memiliki rumah sendiri dengan harga yang murah,” katanya ketika merasmikan Majlis Penyerahan Kunci Rumah Perumahan Generasi Baharu Felda (PGBF) Felda Pasoh 1, di sini hari ini.
Salah seorang penerima Mohamad Nazari, 39, berkata beliau amat bersyukur dan berterima kasih kepada kerajaan atas pemberian kunci rumah pada hari ini.
“Ini merupakan hari yang ditunggu-tunggu oleh kami sekeluarga dan raya tahun ini saya akan menyambutnya di rumah baru,” ujar beliau yang memilih konsep sewa beli dalam proses pembelian rumah ini.
Bagi Hafizah Mohd Ali, 45, pula berasa sangat bertuah kerana mendapat rumah generasi felda ini kerana ramai yang telah membuat permohonan dan undian telah dilakukan untuk menentukan pembelinya.
“Rumah baharu ini lebih selesa memandangkan anak-anak semua mula meningkatkan dewasa,” katanya.
Turut hadir Pengurus Besar FELDA Wilayah Raja Alias, Pamuji Kemis, dan Pegawai Daerah Jelebu, Sharunizam Shahwan.