
Laporan Dan Foto Oleh : Azrene Mohd Noor ( Putrajaya)
PAROI, 10 April ( Malaysiaaktif ) -Lebih kurang 300 pesara serta bakal pesara Jabatan Penerangan Malaysia, Pengerusi-pengerusi Komuniti 1Malaysia ( K1M) Negeri Sembilan serta alumni Pewaris Muda berjaya disatukan dalam Majlis Jalinan Kasih Rakan Strategik 2018 yang diadakan di sini semalam.
Majlis yang turut dihadiri oleh Ketua Pengarah Penerangan Malaysia, Dato’ Haji Ibrahim Abdul Rahman. Program yang telah diadakan sejak tahun 2014 ini bertujuan untuk mengukuhkan hubungan yang sedia ada bersama Rakan Strategik Japen.
Menurut Dato’ Ibrahim, ” Rakan Strategik merupakan agen penggerak masyarakat yang berpengaruh dan khidmat mereka sentiasa kita manfaatkan terutamanya dalam bidang pemasaran maklumat yang diterajui oleh Jabatan Penerangan sejak ditubuhkan pada tahun 1910.”
“Kita juga turut adakan majlis seperti ini di empat zon mengikut negeri masing-masing. Bagi negeri Sabah dan Labuan, kita telah adakan pada bulan lepas dan akan berterusan ke zon lain selepas ini,” tambah beliau lagi.
Turut diraikan di majlis ini adalah pesara-pesara serta bakal pesara yang telah berkhidmat di Jabatan Penerangan.
Kata Ibrahim, ” Saya juga ingin mengucap ribuan terima kasih kepada pesara-pesara serta bakal pesara yang telah banyak menyumbangkan tenaga serta masa mereka dalam mengukuh serta menaikkan nama Jabatan Penerangan Malaysia. Jasa dan bakti mereka perlu diteruskan oleh pegawai-pegawai Penerangan masa kini.”
Beliau turut menyeru agar pegawai-pegawai Jabatan Penerangan Malaysia berkhidmat serta bergerak sebagai satu pasukan tidak kira sama ada di Ibu Pejabat mahupun di peringkat negeri.
Salah seorang pesara yang diraikan semalam, En Idris Mohd Jarwis, 83 , berkata, ” Saya rasa amat gembira hari ini dapat bertemu semula dengan rakan sekerja yang telah lama tidak berjumpa. Walaupun saya telah 20 tahun berpencen, namun semangat serta jatidiri berpaksikan Rukun Negara tetap saya sematkan sepertimana ketika saya bertugas sebagai Operator Wayang Pacak.”
Bagi En Harun Yahya, 68 , beliau pernah berkhidmat sebagai Juru Audio Visual selama 20 tahun berkata , ” Tugas kami dulu jauh berbeza dengan Juru Audio sekarang. Dahulu, agak susah kerana kabel-kabel yang digunakan besar dan berat manakala sekarang, banyak benda serta peralatan yang lebih canggih digunakan oleh Jabatan dalam menyampaikan maklumat-maklumat kerajaan.”
Di dalam majlis ini juga diselitkan dengan ‘Ted Talk’ oleh mantan Pengarah Penerangan Negeri Melaka dan Setiausaha Politik kepada mantan Ketua Menteri Melaka iaitu Dato’ Haji Khamis Ahmad, penyampaian cenderamata serta persembahan dari PENTARAMA.
Turut hadir ke majlis ini ialah Dato’ Mohd Sukari bin Abdul Hamid, Timbalan Ketua Pengarah ( Penerangan Strategik ), Dato’ Almain Ajirul, Timbalan Ketua Pengarah ( Pengurusan ) , Datuk Seri Kamaruddin Siarah, mantan KSU KKMM , Dato’ Hj Ismail Taib, bekas penyelia Bahagian Hal Ehwal Khas dan bekas EXCO Kerajaan Negeri Sembilan serta Dato’ Abdullah Morad, mantan KP Jabatan Penerangan Malaysia.