
Laporan oleh: Asmidar Zainol/Foto: Ahmad Marif
KOTA KINABALU, 28 Jul (Malaysiaaktif) – Satu Jawatankuasa Khas Kabinet akan diwujudkan bagi mengkaji dan menyelaras secara adil isu dalam Perjanjian Malaysia 1963.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong berkata, cadangan penubuhan jawatankuasa berkenaan mendapat persetujuan daripada jemaah menteri pada mesyuarat kabinet kali ketiga lalu.
“Jawankuasa Khas Kabinet ini diwujudkan untuk mengkaji status Sabah dan Sarawak selain menyemak dan menyelaraskan secara adil Perjanjian Malaysia sebelum ini.
“Senarai nama ahli jawatankuasa akan dibentangkan dalam persidangan Parlimen pada Jumaat depan,” katanya pada sidang media selepas kunjungan hormat kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal, di sini, pada Jumaat.
Liew yang juga Menteri yang bertanggungjawab terhadap Undang-Undang turut dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa khas tersebut.
“Setakat ini, seramai 11 hingga 13 anggota dari wakil rakyat Sabah, Sarawak dan Semenanjung yang berpengetahuan luas tentang proses pembentukan Malaysia 1963 telah disenaraikan untuk menganggotai jawatankuasa tersebut.
“Senarai nama ini akan dihantar bagi mendapatkan kelulusan daripada barisan Kabinet untuk kita maklumkan dalam masa terdekat nanti,” jelasnya.
Tambah Liew, setelah mendapat kelulusan, kesemua anggota jawatankuasa terbabit akan diberikan masa selama enam bulan untuk dilaporkan kepada kabinet.
Selain itu, Liew turut memaklumkan, kerajaan akan melihat semula beberapa undang-undang untuk ditambahbaik seperti Akta Hasutan 1948, Akta Pencegahan Jenayah 1959, Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971, Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984, Akta Keselamatan Negara dan Hukuman Gantung Mandatori.
Ujar beliau, semua undang-undang itu akan dikaji semula sama ada perlu dihapuskan, ditambah baik atau dipinda seperti yang telah dijanjikan dalam manifesto Pakatan Harapan sebelum ini.
-MRR