Skip to main content
Berita TempatanHomeSabah

Martabatkan Tradisi, Reka Baju Inspirasi Etnik Borneo

By 2 Julai 2018Tiada komen4 minit bacaan

Laporan oleh: Fauzrina Bulka/Foto: Azman Jumat(Sabah)

 

KOTA KINABALU, 2 Jul (Malaysiaaktif) – Kepelbagaian etnik di Sabah sudah pasti dapat menghasilkan pelbagai corak etnik sebagai lambang identiti kebanggaan suku masing-masing agar mudah di kenali.

Justeru, atas kepelbagaian itu lah, pemilik perniagaan jenama Trusted Shark, Mohamad Nazri K. Hamid, 33 mengambil inspirasi daripada corak-corak ini untuk menghiasi pakaian rekaannya yang mempunyai ramai peminat.

“Kepakaran kami sebenarnya adalah membuat rekaan, dan kami membuat corak istimewa untuk mereka yang inginkan identiti yang berbeza daripada orang lain.

“Rekaan yang kami hasilkan adalah lebih kepada identiti di mana corak etnik ini lebih kepada Sabahan dan Borneo, ketika saya memikirkan rekaan yang melambangkan Sabah, saya mencari motif-motif Sabahan inspirasi daripada kaum-kaum yang ada di sini,”jelasnya.

Nazri bersama produk rekaan kebanggaannya

Nazri bersama produk rekaan kebanggaannya

Kata Nazri, kepelbagaian etnik di Sabah menghasilkan pelbagai motif yang sangat unik, namun baju-baju tradisi yang sedia ada biasanya menggunakan material baldu yang tebal dan panas.

Tambahnya lagi, baju-baju tradisi tersebut
hanya akan digunakan di musim perayaan dan majlis tertentu, Oleh itu, dia mengambil corak tersebut dan di reka di atas fabrik yang sesuai untuk dipakai seharian.

“Kita di sini menerima ramai pelancong setiap hari, jadi misi saya ialah untuk memartabatkan budaya Sabah kepada pelancong dan golongan muda supaya mereka faham dan bangga bahawa tradisi nenek moyang mereka sangat unik.

“Ketika sambutan Kaamatan yang lepas, memang ramai golongan muda yang beli, rata-rata berumur daripada 18 hingga 35 tahun, manakala yang berusia pula beli untuk di pakai sekeluarga pada Kaamatan.

“Rekaan yang mendapat banyak permintaan ialah Lotud dan Penampang, permintaan yang luar biasa ini dapat dilihat apabila stok baharu tiba, ia akan habis terjual dalam tempoh dua hari,”kata Nazri.

Harapannya, rekaan etnik itu dapat memasuki pasaran antarabangsa terutamanya dari segi pelancongan kerana boleh dijadikan sebagai cenderamata kepada mereka bagi memartabatkan rekaan budaya Sabah supaya lebih dikenali.

Antara pelanggan yang singgah di gerai pameran Nazri.

Antara pelanggan yang singgah di gerai pameran Nazri.

Nazri mengakui tidak senang untuk berjaya kerana pelbagai cabaran, suka dan duka yang terpaksa diharunginya semenjak berjinak dengan dunia perniagaan pada 2013.

Bermula dengan berniaga produk import di atas talian, dia bijak menyimpan keuntungan jualannya untuk memulakan produk sendiri memandangkan ketika itu permintaan untuk pakaian sukan agak baik.

Latarbelakang beliau yang pernah menjadi pemain dan pengadil ragbi peringkat asia, dia faham perlunya produk yang berkualiti hingga nekad membuka perniagaan sendiri kerana tidak berpuas hati dengan pembelian yang mahal daripada luar negara.

“Menggunakan modal sendiri di awal berniaga, saya di uji dengan produk tidak berkualiti yang di beli dari negara luar, saya hampir terduduk kerana semua simpanan saya sudah dipakai untuk pembelian tersebut.

“Tetapi saya kuatkan semangat dan teruskan mencari kilang yang lain kerana tidak ingin menghampakan rakan-rakan dan pelanggan, sehinggalah menemui kilang yang menepati apa yang saya mahukan.

“Ini kerana untuk pakaian sukan yang selesa, mestilah mengunakan fabrik dan jahitan yang baik kerana ia memainkan peranan yang penting kepada kualiti dan ketahanan.

“Rakan-rakan dan pelanggan memang tahu saya sangat mementingkan kualiti tetapi  dengan tawaran harga yang rendah dan alhamdulillah permintaan semakin meningkat dan saya mendapat sokongan daripada mereka,” ujarnya.

Nazri di temui ketika membuat pameran produk jenamanya semasa Pesta Kaamatan 2018 yang di jalankan di Kampung Tambulion Ulu pada Sabtu.

Ewon ketika melawat gerai pameran Nazri.

Ewon ketika melawat gerai pameran Nazri.

Dalam pada itu, Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Ewon Benedick berbangga di atas inisiatif yang dimulakan oleh anak Sabah bagi menghargai identiti warisan budaya negeri.

“Beliau telah memperkenalkan satu pakaian yang bercirikan etnik kita di Sabah dan saya sendiri membeli baju ini beberapa hari yang lepas melalui rakan.

“Sebagai tanda sokongan kepada beliau, saya memberitahunya yang saya memerlukan baju etnik yang berkolar untuk dipakai semasa majlis-majlis rasmi.

“Memandangkan pada tahun hadapan pejabat ADUN dan KPLB akan mengaturkan penganjuran Kaamatan mengikut mukim di Kadamaian ini, jadi kita boleh bekalkan kepada jawatankuasa penganjur di 16 mukim di DUN ini,”katanya.

Ewon juga positif bahawa corak etnik Sabah boleh pergi jauh kerana masyarakat seluruh dunia sangat menghargai identiti etnik yang di miliki oleh setiap kaum di mana pun negara.

“Kalau kita boleh mulakan di peringkat kita sendiri, tidak ada sebab ianya tidak boleh pergi jauh daripada ruang lingkup sempadan Sabah ini.

“Mungkin ada rakyat Sabah di Rusia yang sedang membawa bendera Sabah sambil menonton perlawanan bola sepak piala dunia, dan kalau dia pakai baju ini sambil menonton, dia sudah mempromosi warisan budaya.

“Saya amat pasti kalau kita boleh membeli jeans rekaan daripada luar negara, tidak ada sebabnya kenapa rakan-rakan kita dari pada negara lain boleh membeli baju yang rekaannya berlatar belakangkan etnik kita, ini sesuatu yang sangat positif,”kata Ewon.

-MRR

Tinggalkan komen anda