
Laporan dan foto: M Zakry Chan
MELAKA, 27 Jul (Malaysiaaktif) – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) telah mengadakan program walkabout di pasar raya AEON Bandaraya Melaka pada waktu pagi bagi memantau dan melihat pematuhan peniaga dalam mematuhi GST (Goods and Services Tax) berkadar sifar di Melaka dan memberi makluman kepada pengguna berkaitan penurunan harga beberapa jenis barangan selepas pengumuman GST sifar berkuatkuasa pada 1 Jun 2018.
Menurut Exco Perpaduan, Sumber Manusia, NGO dan Hal Ehwal Pengguna, G. Saminathan, sejak GST berkadar sifar sebanyak 37,411 barangan telah diperiksa melibatkan 1,245 premis perniagaan dan sebanyak 69 aduan telah diterima.
“Saya menyeru pengguna memainkan peranan penting dalam memberi maklumat kepada pihak berkuasa jika terdapat perniagaan yang mengambil kesempatan menaikkan harga barangan dan makanan,”ujarnya.
Turut hadir, Exco Perindustrian, Perdagangan dan Pelaburan, Mohd Rafiq Naizamohideen berkata pihak kerajaan tidak mahu ada pihak yang mengambil kesempatan atas kadar sifar GST dengan tidak menurunkan harga barangan.
“Lebih penting lagi, selepas pelaksaan SST (Sales and Services Tax) yang dijangka pada bulan September nanti pihak kerajaan akan terus memantau kerana harga barangan sepatutnya tidak naik memandangkan SST ini hanya dikenakan di peringkat pengeluaran sebaliknya GST dikenakan di setiap peringkat,”ujar Rafiq.
Segala aduan boleh disalurkan melalui talian 06-2345822 / 06-2345869 Pejabat KPDNHEP Negeri Melaka di talian 03-80008000 1Malaysia One Call Center (1MOCC), aplikasi telefon pintar Ez ADU, e-mel ke [email protected] atau SMS ke 15888 dengan menaip “KPDNHEP ADUAN <butiran aduan> atau terus ke pejabat KPDNHEP Negeri Melaka.