
Laporan dan foto: Zaidi Jamin(Sabah)
KOTA KINABALU, 20 Jul (Malaysiaaktif) -Penjawat awam khususnya warga hospital digalak agar sentiasa mengutamakan pemakanan seimbang kerana kesihatan diri pasti mempengaruhi mutu perkhidmatan dan penyampaian yang disalurkan.

Dr. Yogendran (tengah) bersama-sama Dr. Ahmad Toha (Kiri) turut sama
meraikan sambutan Aidil fitri bersama warga hospital.
Timbalan Pengarah Klinikal 1, Hospital Queen Elizabeth (HQE), Dr. Yogendran A/L Panchalingam berkata, amalan pemakanan seimbang dapat membantu mengekalkan kesihatan diri dan mencegah sebarang penyakit.
“Malahan kesederhanaan dalam pemakanan mempengaruhi mutu perkhidmatan yang lebih efisien dan berkualiti.
“Majlis jamuan Hari Raya Aidi Fitri memberi peluang untuk kita menikmati pelbagai juadah, namun amalan pemakanan seimbang dan sederhana perlu di beri keutamaan,”ujarnya.
Yogendran berkata demikian semasa hadir merasmikan Sambutan Rumah Terbuka Hari Raya Aidil Fitri Peringkat HQE anjuran Persatuan Kebajikan Islam Perubatan Sabah (PERKIPS), di Bangunan Menara Berkembar pagi tadi.
Katanya, sambutan dan amalan rumah terbuka aidil fitri peringkat jabatan bukan sahaja mengukuhkan amalan kerja berpasukan sebaliknya menjadi platform terbaik dalam pembentukkan semangat kekeluargaan dan hubungan yang lebih erat di kalangan anggota di peringkat hospital.
“Sambil menikmati juadah, pastinya kita dapat berinteraksi dan memupuk ikatan
kekeluargaan antara kakitangan dan keadaan ini tentunya mempengaruhi misi dan agenda dalam meningkatkan mutu perkhidmatan hospital,”jelas Yogendran.
Hampir seluruh anggota hospital meliputi bahagian klinikal, sokongan klinikal dan pengurusan hadir memeriahkan majlis.
Majlis turut diserikan dengan pertandingan hiasan dan keceriaan tapak gerai meliputi lebih 11 tapak juadah mewakili semua jabatan dan unit.
Terdahulu Pengerusi PERKIPS, Dr. Ahmad Toha Samsuddin dalam ucapan aluan berkata, majlis sambutan rumah terbuka aidil fitri yang dianjurkan sentiasa mendapat sambutan hasil kerjasama semua pihak.
Sambil merakamkan ucapan terima kasih, beliau yakin dan pasti kerjasama antara ahli-ahli PERKIPS pasti mempengaruhi serta mengukuhkan amalan kerja berpasukan peringkat organisasi.

Landasan membudayakan persefahaman.. Ringkas tapi penuh bermakna sambutan rumah terbuka aidil fitri HQE.
Hadir sama pada majlis Timbalan Pengarah Bahagian Pengurusan, Jasnawati Jasmin serta tetamu jemputan kalangan anggota daripada Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS).
-MRR