Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanHomeNegeri Sembilan

Pusat Maklumat Rakyat Menjadi Pusat Maklumat Sehenti

By 20 Julai 2018Tiada komen2 minit bacaan

 

Laporan: Suzilawati Kamarudin     Foto: Mohd Khairulnizam Mohd Yunus (Seremban)

SEREMBAN, 20 Jul (Malaysiaaktif) – Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Eddin Syazlee Shith menyifatkan usaha dan inisiatif oleh kerajaan dalam memberikan perkhidmatan dan kemudahan kepada rakyat termasuk dalam mewujudkan Pusat Maklumat Rakyat (PMR) adalah satu usaha yang wajar dipuji.

Eddin (kanan) ditemani Pengarah Jabatan Penerangan Negeri Sembilan dalam sidang media selepas majlis.

Eddin (kanan) ditemani Pengarah Jabatan Penerangan Negeri Sembilan dalam sidang media selepas majlis.

“Kewujudan PMR adalah salah satu usaha yang dijalankan oleh Jabatan Penerangan Malaysia sebagai lidah rasmi kerajaan dalam proses menyampaikan maklumat kepada orang ramai seperti misi dan visi kerajaan khususnya kerajaan baru Pakatan Harapan pada hari ini, yang meletakkan rakyat sebagai keutamaan dari segi kebajikan dan keselesaan, termasuklah dalam usaha kerajaan menunaikan manifesto yang telah dijanjikan,” kata Eddin sempena penyerahan Jalur Gemilang kepada jabatan dan agensi kerajaan, di sini semalam.

Pejabat Penerangan Daerah di seluruh negara telah memainkan peranan PMR sejak tahun 2005 lagi. Terdapat tujuh buah PMR di bawah Jabatan Penerangan Malaysia Negeri Sembilan.

Antara perkhidmatan yang disediakan oleh PMR termasuklah menyediakan Portal 1KLIK, mengedarkan bahan-bahan penerbitan Jabatan Penerangan Malaysia seperti poster, buku poket, bahan-bahan maklumat audio visual (CD), keratan akhbar dan pemudahcara pencarian maklumat.

Penyampaian potret Perdana Menteri Malaysia dan Jalur Gemilang.

Penyampaian potret Perdana Menteri Malaysia dan Jalur Gemilang.

Menyentuh Sambutan Hari Kebangsaan 2018 yang akan tiba tidak lama lagi, Eddin memberitahu tema hari kebangsaan pada tahun ini adalah ‘Sayangi Malaysiaku’.

“Untuk menyemarakkan semangat cintakan negara, erti kemerdekaan bukan sahaja terletak kepada kibaran Jalur Gemilang tetapi perlu dihayati dan disambut oleh generasi muda,” tambahnya.

Bendahari Komuniti Bestari Kampung Bemban, Fadilah Mohd Nor berpendapat bahawa PMR ini memberi perkhidmatan yang amat baik sebagai pusat maklumat sehenti.

“Pusat ini memberikan perkhidmatan terutamanya dalam mendapatkan bahan-bahan penerbitan secara percuma seperti buku poket, poster pemimpin negara, majalah dan buletin serta maklumat terkini berkenaan dasar kerajaan,” ujar Fadilah.

Sementara itu, seorang guru, Panabalan Gunasekaren menyifatkan PMR ini sesuatu yang amat berguna kepada pelajar secara khusunya dalam mendapatkan maklumat tentang isu semasa dan terkini.

“Saya kerap datang ke PMR Seremban untuk mendapatkan bahan penerbitan Jabatan Penerangan Malaysia, tempat ini lengkap dengan kemudahan sumber maklumat, perkhidmatan komputer dan pencetak yang disediakan amat berguna kepada pengunjung terutamanya para pelajar,” katanya.

-KN

Tinggalkan komen anda