
Laporan dan Foto : Noorshazana Shaadan (Port Dickson)
PORT DICKSON, 15 Jul (Malaysiaaktif) – Seorang peserta Port Dickson International Triathlon (PDIT2018) ditemui lemas ketika acara renang, di sini hari ini.
Timbalan Ketua Polis Daerah Port Dickson, Deputi Supritendan Mohd Faizal Mohd Noor berkata dalam satu kenyataan, mangsa telah berenang dari garis permulaan menuju ke pantai untuk meneruskan acara seterusnya yang dengan jarak lebih kurang 750 meter dari pantai.
“Dipercayai mangsa telah lemas semasa berenang dan telah menerima rawatan kecemasan oleh pasukan petugas kecemasan namun tidak memberikan sebarang respon.
“Mangsa telah dibawa ke Hospital Port Dickson untuk menerima rawatan lanjut dan telah disahkan meninggal dunia,” katanya lagi.
Dalam kejadian pukul 8 pagi tadi, mangsa Tharm Wei Wong, 39, dari Pulau Pinang telah ditemui lemas ketika menyertai acara renang dalam Port Dickson International Triathlon 2018.
Sementara itu, Pengarah Bomba dan Penyelamat Negeri Sembilan, Norazam Khamis berkata atas makluman pihak penganjur, seorang lagi peserta dikhuatiri hilang setelah gagal melaporkan diri kepada urus setia.
“Pasukan mencari dan menyelamat telah digerakkan dalam usaha menjejaki mangsa dengan dibantu oleh beberapa agensi seperti Pasukan Penyelamat di Air (PPDA), Polis Marin, Agensi Pertahanan Awam (APM) dan Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD),” ujarnya.
“Sebarang makluman dan pengesahan lanjut tentang perkara ini akan dibuat oleh pihak polis dari semasa ke semasa,” katanya lagi.
Port Dickson International Triathlon merupakan acara tahunan peringkat antarabangsa yang mana kali ini melibatkan penyertaan seramai 2,300 orang peserta dari 39 buah negara.