
Laporan dan Foto Oleh : Muhammad Rizal Redzuan (Putrajaya)
BALING, 14 Jul (Malaysiaaktif) – “Baling ialah daerah paling bahagia mengikut National Happiness Index 2014. Baling juga mempunyai sangat banyak tempat-tempat yang berasaskan eko-pelancongan. Jadi pemilihan Baling sebagai lokasi Asean Baling Nature Explorace (ABNE) amatlah bersesuaian.”

ABNE memromosikan eko-pelancongan Baling – Pengarah Kolej Komuniti Baling, Mejar Bersekutu Sobah Abdul Hamid
Ini dinyatakan Pengarah Kolej Komuniti Baling, Sobah Abdul Hamid.
Semua tempat-tempat yang dipilih untuk acara ini amat bersesuaian dengan suasana alamnya yang masih terpelihara, katanya lagi.
Antara lokasi yang dipilih untuk acara ini ABNE ini ialah Dusun Tok Wa Desa Sentosa, Kampung Titi Teduri, Pulai, Sawah, Kg Tok Harun Pulai, Sungai Baling, dan Air Terjun Lata Bayu, Asam Jawa.
Pelajar Kolej Komuniti Bayan Baru, Kamalia Yasmin Jamil, berkata setiap hentian (checkpoint) mendekatkan dia dengan alam sekitar.
Ketika ditemui di checkpoint ke empat, dia berkata, ini kali pertama dia menyertai acara seperti ini dan ia mencabar mental dan fizikalnya. Selain perlu menyelesaikan cabaran-cabaran dengan segera yang menguji mental, mereka juga perlu berlari dan bergegas ke checkpoint setetusnya.
Salah seorang urusetia acara ini, yang juga Pelajar Kolej Komuniti (KK) Baling Nur Ain Amalina Othman sangat gembira untuk sama-sama memastikan perjalanan acara ini berjalan lancar demi menjaga nama baik KK Baling yang menjadi tuan rumah acara ini bagi Zon Utara.
Menurut Pegawai Pembangunan Pelajar KK Bandar Darul Aman, Amirul Omar cabaran memasang rakit antara yang paling mencabar kerana rata-rata peserta tiada pengalaman membuat rakit buluh. Malah ada yang luka dan cedera semasa membina rakit.
Walau bagaimanapun akhirnya semua peserta berjaya membina dan menghabiskan acara ini sejauh 50 meter.
Buluh untuk membina rakit dibekalkan oleh masyarakat orang asli tempatan, ujarnya lagi.
“Saya ingin sangat menyertai acara ABNE tetapi tidak layak, jadi saya menjadi sukarelawan bagi menjayakan acara ini,” ujar pelajar KK Baling, Maizatul Hani Che Lah.
Menurutnya para sukarelawan tidak diberi sebarang bayaran tetapi dia amat gembira dapat terlibat dengan acara ini dan ia suatu pengalaman yang amat berharga baginya.
Asean Baling Nature Explorace diadakan sempena program ASEAN@Campus 2018 anjuran Jabatan Penerangan Malaysia dengan kerjasama Kolej Komuniti Baling.
Ia diadakan di Baling, Kedah pada 14 -15 Julai 2018 bagi Zon Utara melibat 37 pasukan dari pelbagai institusi pengajian tinggi.