
Laporan dan foto: Sapar Sutir (Rembau)
REMBAU, 28 Ogos (Malaysiaaktif) – Program Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) 2018 Daerah Rembau disertai kira-kira 30 kenderaan, telah menjelajah ke enam lokasi di daerah ini.
Konvoi ini disertai kenderaan daripada pelbagai jabatan dan agensi kerajaan negeri serta persekutuan, termasuk Pejabat Penerangan Daerah Seremban dan Rembau.
Pegawai Penerangan Daerah Rembau, Malini Yunus menjelaskan dengan adanya konvoi sebegini setiap tahun pada bulan kemerdekaan akan memberikan suntikan semangat sayangkan negara.
“Kita sebagai satu bangsa yang merdeka wajar menghargai semangat kebangsaan dengan mengibarkan Jalur Gemilang sebagai tanda sayangkan negara,” katanya yang ditemui di Sekolah Kebangsaan Cengkau, di sini hari ini.
Sementara itu seorang peserta konvoi, Jefri Samad merasakan program sebegini amat baik bagi menaikkan lagi semangat cinta dan sayangkan negara.
Antara objektif penganjuran program adalah untuk meningkatkan semangat patriotisme dan rasa cintakan tanah air dalam kalangan rakyat berbilang kaum sempena Sambutan 61 Tahun Kemerdekaan Negara.
Upacara penutup telah disempurnakan oleh Penolong Pegawai Daerah Rembau, Farah Izani Ismail.
-SH