
Laporan dan foto: M Zakry Chan (Melaka)
MELAKA, 7 Ogos (Malaysiaaktif) – Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Paya Rumput dinobatkan sebagai juara Pertandingan Sketsa Rukun Negara Kelab Malaysiaku peringkat negeri Melaka 2018, hari ini yang telah berlangsung di Auditorium Panggung Sari, Kompleks Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Negeri Melaka.
SMK Paya Rumput yang mempersembahkan sketsa ‘Bulat’ berjaya membawa pulang hadiah berupa wang tunai RM2,000, sijil penyertaan dan trofi. Melengkapkan kejayaan sekolah tersebut apabila turut memenangi kategori pelakon lelaki terbaik,pengarah terbaik serta penulis skrip terbaik.
Tempat kedua dimenangi oleh SMK Ayer Molek yang berjaya membawa pulang hadiah berupa wang tunai RM1,500, sijil penyertaan serta trofi. Sementara itu, SMK Durian Tunggal memenangi tempat ketiga dan membawa pulang hadiah berupa wang tunai RM1000 dan sijil penyertaan. Antara sekolah yang turut bertanding ialah SMK Tun Mutahir, SMK Ayer Keroh, SMK Iskandar Shah,SMK Tinggi Perempuan, SMK Sungai Rambai, SMK Seri Tanjung dan SMK Sultan Alauddin.
Program tersebut dirasmikan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka Datuk Roslan Ibrahim mewakili Ketua Menteri Melaka Adly Zahari.
Pengarah Jabatan Penerangan Negeri, Shahnon Mohamad berkata, pertandingan Sketsa Rukun Negara adalah aktiviti komunikasi bersemuka berkonsep seni lakon dan penceritaan.
Katanya, ia merupakan kaedah pembujukan yang menggabungkan kesemua kaedah komunikasi yang bermatlamat membentuk minda masyarakat khususnya dalam kalangan pelajar untuk bersatu padu, meningkatkan semangat patriotisme, bestari dan cintakan negara.
“Sambutan hari kemerdekaan pada tahun ini adalah bertemakan ‘Sayangi Malaysiaku’ seperti diumumkan oleh Perdana Menteri pada 30 Mei 2018 dan sekali gus menjadi tema bagi pertandingan sketsa Rukun Negara peringkat negeri Melaka.
“Sehubungan itu, penglibatan pelajar dalam Kelab Malaysiaku akan menjadi penggerak kepada agenda memperkasakan perpaduan dalam masyarakat pelbagai kaum di Malaysia. Keharmonian dalam kepelbagaian ini diharap dapat meningkatkan semangat kekitaan dan saling hormat menghormati,” tambahnya.
-KN