
Laporan dan foto : M Zakry Chan (Melaka)
AYER KEROH, 16 Ogos (Malaysiaaktif) – Hujan lebat tidak menghalang 135 peserta konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) untuk terus membawa cabaran dalam kempen kibar Jalur Gemilang sempena sambutan Bulan Kebangsaan 2018.
Sebanyak 16 kenderaan dan 30 buah motosikal berkuasa tinggi menyertai konvoi yang mula memasuki negeri ini pada Selasa lepas dan menjadikan Sekolah Menengah Dang Anum sebagai persinggahan pertama seturusnya ke Seri Negeri dan Dataran Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) sebelum ke Tampin Negeri Sembilan.
Menurut Pengarah Penerangan Negeri Melaka, Shahnon Mohamad, konvoi yang bertemakan ‘Sayangi Malaysiaku’ ini bertujuan menyeru rakyat Malaysia mengibarkan Jalur Gemilang sebagai tanda cinta kepada negara dan melahirkan serta dapat meningkatkan semangat patriotisme dalam jiwa setiap rakyat.

Dr. Amarjit Singh (kanan) menyerahkan Jalur Gemilang kepada Adly Zahari sempena KMJG 2018, di sini semalam.
“Keamanan dan keharmoniaan yang dikecapi hari ini adalah usaha dan pengorbanan pejuang-pejuang terdahulu dalam membebaskan negara daripada cengkaman penjajah.
“Apa yang kita ada sekarang harus dipertahankan dan diperkukuhkan supaya generasi akan datang akan terus menikmati kehidupan yang sejahtera,” ujar Shahnon ketika pelepasan konvoi (KMJG) semalam di Seri Negeri, Ayer Keroh.
Pelajar SMK Datuk Abdul Rahman Yaakub, Isma Danial Ismail,15, berkata generasi muda harus mengetahui sejarah negara supaya memahami erti sebuah kemerdekaan sebenar.
“Menyayangi Malaysia bukan hanya sekadar mengibarkan Jalur Gemilang tetapi harus disemat dalam jiwa setiap pelajar,” ujar Isma.
Pelepasan konvoi di Seri Negeri disempurnakan oleh Ketua Menteri, Adly Zahari yang turut dihadiri Speaker Dewan Undangan Negeri, Omar Jaafar, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wira Roslan Ibrahim dan Pengarah Bahagian Media Siber Jabatan Penerangan Malaysia merangkap Ketua Konvoi KMJG 2018, Dr. Amarjit Singh.