
Laporan dan foto oleh: Eparizan Mansor (Putrajaya)
PUTRAJAYA, 29 Ogos 2018 (MalaysiaAktif) – Persembahan pancaragam gabungan pasukan beruniform pelbagai agensi keselamatan negara dan ketenteraman awam curi tumpuan pengunjung raptai penuh sambutan hari kemerdekaan ke-61.
Lagu-lagu patriotik yang didendangkan menyemarakkan lagi semangat kemerdekaan dalam kalangan pengunjung yang hadir. Persembahan pancaragam penuh bertenaga ini diketuai oleh Mejar Abdul Rahman Abdullah dari Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) selaku pengarah muzik dengan bantuan oleh ASP Mesmoro Edward dari Polis Diraja Malaysia.
Persembahan pancaragam yang mantap hasil kolabrasi pasukan beruniform dijayakan bersama seramai 524 anggota pemuzik secara keseluruhannya. Kolabrasi ini terdiri daripada pancaragam Angkatan Tentera Malaysia gabungan darat, laut dan udara, Polis Diraja Malaysia, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam, Jabatan Penjara, Jabatan Imigresen, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan Jabatan Sukarelawan Malaysia.

Sharifah Rodziah Syed Jalaluddin (tengah) bersama keluarga memeriahkan sambutan raptai kemerdekaan ke-61 di Putrajaya
Sharifah Rodziah Syed Jalaluddin dari Selayang antara pengunjung yang hadir turut melahirkan rasa gembira dan tertarik dengan persembahan pancaragam tersebut. Beliau berkata sambutan kali ini nampak menarik dengan penglibatan kolabrasi pancaragam agensi kerajaan yang sangat berbakat. Ini merupakan tahun ke tiga beliau bersama keluarga meluangkan masa menghadiri raptai penuh dan sambutan kemerdekaan pada tahun ini.
Orang ramai turut dijemput hadir bagi memeriahkan lagi sambutan hari kemerdekaan bertemakan Sayangi Malaysiaku pada 31 Ogos ini di Dataran Putrajaya.
EM