
Laporan oleh: Asmidar Zainol/ Foto: Johnny Kimlon (Sabah)
KOTA KINABALU, 4 Sept (Malaysiaaktif) – Anugerah Ibu Mithali dan Anugerah Budayawan diperkenalkan pada Sambutan Hari Wanita Ke-30 Peringkat Negeri, tahun ini.
Anugerah tersebut akan disampaikan pada kemuncak Hari Wanita Peringkat Negeri oleh Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal pada 7 September ini.
Menurut Pembantu Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat, Norzalinah Arif, dua kategori baharu itu diperkenalkan bagi memberi pengiktirafan secara menyeluruh kepada golongan wanita dalam bidang masing-masing.
“Anugerah Ibu Mithali diperkenalkan menghargai jasa dan pengorbanan ibu manakala Anugerah Budayawan adalah untuk memberi pengiktirafan kepada wanita yang aktif memartabatkan budaya bukan sahaja di Sabah tetapi juga di luar negara.
“Enam anugerah lain yang bakal disampaikan adalah Tokoh Wanita, Ikon Wanita Cemerlang, Ikon Wanita Harapan, Usahawan Wanita Cemerlang, Usahawan Wanita Harapan dan Persatuan Wanita Cemerlang.
“Pelbagai program telah dilaksanakan antaranya Persidangan Women Of Substance (WOS), Bengkel Indeks Kesejahteraan Wanita Sabah, Program Pembangunan Ibu Tunggal, Program Kesedaran Perkahwinan Kanak-Kanak, Program Pembangunan Gender, Conference On Gender Inclusiveness and Gender Equity dan banyak lagi.
“Sambutan bertemakan ‘Wanita Cemerlang, Rakyat Sejahtera’ yang bermula sejak Ogos lalu diisi dengan 11 program yang akan berakhir pada hujung bulan ini,” katanya pada sidangbakhbar mengenai sambutan berkenaan di Kementerian Komunikasi dan Multimedia Media di sini, pada Isnin.
Turut hadir pada sidang media tersebut adalah Pengerusi Majlis Penasihat Wanita Sabah, Datuk Dr Hajah Tarsiah TZ Taman; Pengarah Jabatan Hal Ehwal Wanita Sabah (JHEWA), Masnah Mat Salleh; Pemangku Pengarah Jabatan Penyiaran Negeri Sabah, Malinaziah Julaspi dan Penolong Pengarah JHEWA, Salmah Ahmad.
-FB