
Laporan dan foto oleh: Asmidar Zainol(Sabah)
KOTA BELUD, 11 Sept (Malaysiaaktif) – Pengusaha dan pemain industri pelancongan perlu merebut peluang mengusahakan pelancongan berasaskan astronomi atau Astrotourism di kawasan masing-masing.
Pengarah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia, (MOTAC Sabah), Ag Ahmad Zaki Abu Bakar berkata, keindahan langit malam di negeri ini yang masih terjaga dari pencemaran cahaya menjadi kelebihan kepada Sabah untuk memperkenalkan produk Astrotourism.
“Pengusaha-pengusaha pelancongan terutamanya di kawasan luar bandar perlu merebut dan mengambil kesempatan dengan menggunakan astronomi sebagai salah satu produk pelancongan baharu di kawasan masing-masing.
“Baru-baru ini sebuah laman sesawang antarabangsa telah memilih negeri Sabah sebagai salah sebuah lokasi terbaik di Asia untuk mencerap bintang (stargazing) dan dengan pengiktirafan tersebut secara tidak langsung dapat memperkenalkan Sabah kepada masyarakat tempatan dan luar negara bahawa negeri ini bukan sahaja menawarkan keindahan flora, fauna, Gunung Kinabalu serta lautan yang kaya dengan khazanah tetapi keindahan langit malam juga boleh dinikmati oleh para pelancong,”ujarnya.
Zaki juga berharap pemain-pemain industri pelancongan akan turut terlibat secara aktif mempromosikan Astrotourism sebagai produk baharu pelancongan di negeri ini.
“Sebagai langkah membantu memperkenalkan astronomi kepada para pengusaha dan pemain industri di negeri ini, MOTAC Sabah berkerjasama dengan Tourism Malaysia (TM) Sabah serta Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC) melalui Agensi Angkasa Negara (ANGKASA) dan Planetarium Negara menganjurkan ‘Kursus Astronomy For Astrotourism’ baru-baru ini.
“Antara objektif kursus adalah untuk memperkenalkan astronomi kepada peserta agar mereka dapat memahami dan mengenal objek-objek cakerawala di langit, selain turut mengajar mereka cara merakam imej objek-objek berkenaan dan seterusnya menyunting imej-imej yang dirakam.
“Sepanjang kursus tiga hari berkenaan, kami dapati para peserta sangat komited walaupun terpaksa menghadiri kelas pada siang hingga malam, dan perlu bangun seawal pukul 3 pagi untuk merakam imej-imej cakerawala antaranya buruj Orion, Scorpius, Taurus, Canis Major, Pleiades, Bima Sakti, Light Pillar dan sebagainya.
“Berdasarkan pembentangan pada akhir kursus, para peserta telah dapat mengenal bintang, planet dan buruj di langit serta telah menghasilkan imej-imej menarik yang mana kemahiran tersebut boleh digunakan semasa membawa atau mempromosikan kepada pelancong,” jelasnya selepas majlis penutupan kursus berkenaan di Usukan Cove, Kota Belud.
Sementara itu, Pengarah TM Sabah, Jamilah Abdul Halim berkata, agensinya menyokong usaha-usaha mengenengahkan produk pelancongan yang unik ini kerana ia berpontensi untuk disenaraikan sebagai salah satu acara pelancongan.
“Sebenarnya ramai peminat astronomi terdiri daripada peminat fotografi yang mana jumlahnya amat besar di dalam dan luar negara, dengan pendedahan dan pengetahuan tentang bidang astronomi secara tidak langsung dapat mempromosikan imej-imej yang dirakam dari lokasi-lokasi yang menarik dan akhirnya dapat memperkenalkan destinasi-destinasi pelancongan baharu di Malaysia khususnya di Sabah.
“Ini akan menarik lebih ramai pelancong ke lokasi tersebut dan seterusnya menyumbang kepada peningkatan jumlah pelancong domestik mahupun luar negara,”katanya.
Seramai 30 peserta terdiri daripada pengusaha dan pemain industri pelancongan di negeri ini menyertai kursus julung kali diadakan tersebut.
-FB