
Laporan oleh: Eviannie Kin/Foto: Azman, Ariff dan Shahvian(Sabah)
KOTA KINABALU, 24 Sept (Malaysiaaktif) – Peserta tuan rumah, Mohd Rafee Mohamad dinobat Johan Pertandingan Akhir Pidato Kenegaraan Peringkat Kebangsaan 2018.
Persembahan energetik dengan tajuk, ‘Internet dan Media Sosial Menghubung Masyarakat Berinformasi’ nyata membawa tuah apabila beliau meraih kejuaraan sekaligus membawa balik wang tunai RM3,000 bersama piala pusingan, piala iringan serta sijil penyertaan.
Memegang prinsip menyampaikan pidato adalah amanah, Mohd Rafee yang juga Pegawai Tadbir dan Diplomatik di Jabatan Pendidikan Negeri Sabah itu menewaskan empat finalis lain dalam pertandingan anjuran Jabatan Penerangan Malaysia.
“Kemenangan ini tidak dijangka kerana melihat kepada persaingan di peringkat separuh akhir. Namun, apabila saya melihat penonton iaitu warga Sabah yang ramai memberi semangat maka saya merasakan ini menjadi tanggungjawab untuk memberi persembahan yang terbaik.

Para peserta Pertandingan Pidato Kenegaraan bergambar kenangan bersama dengan Shafie dan Ibrahim serta dif-dif kehormat.
“Inilah prinsip saya sebagai pemidato semasa menyertai pertandingan atau ceramah, saya harus melaksanakan amanah iaitu menyampaikan maklumat supaya dapat difahami dan dihayati oleh pendengar barulah perkara itu ikhlas disampaikan kepada mereka.
“Kita perlu ingat, sebagai pemidato walaupun dalam pertandingan, amanahnya tetap pidato dan kemenangan pula adalah anugerah maka laksana amanah dengan baik dan seikhlas tulus hati,” luahnya.
Sementara itu, naib johan diraih peserta dari Terengganu, Anis Hazirah Zakaria dan peserta Negeri Sembilan, Nurfatin Syahira Zolkafli Daie di tempat ketiga masing-masing memenangi hadiah wang tunai RM2,000 dan RM RM1,000 bersama piala iringan dan sijil penyertaan.
Pada majlis itu, perasmian dan penyampaian hadiah disempurnakan oleh Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Sabah, pada Ahad.
-FB