
Laporan/foto: Siti Rahimah/Rick Anderson (Sarawak)
JULAU, 3 Jul (MalaysiaAktif) – Bagi memastikan golongan warga emas di kawasan pedalaman menerima perlindungan kesihatan yang sewajarnya, satu program vaksinasi influenza telah dijalankan secara terus di rumah panjang sekitar Julau dan ia adalah inisiatif oleh Klinik Kesihatan Julau sebagai usaha mendekati komuniti yang sukar ke klinik akibat kekangan pengangkutan dan kewangan.
Objektif program adalah untuk melindungi golongan warga emas berisiko tinggi daripada jangkitan influenza, mengurangkan komplikasi serius yang mungkin timbul seterusnya meningkatkan liputan imunisasi di kawasan pedalaman.

Jelian Laja turut disuntik vaksin.
Golongan sasaran adalah warga emas berumur 60 tahun ke atas, terutama mereka yang mempunyai penyakit kronik seperti diabetes, hipertensi dan penyakit paru-paru.
Persiapan rapi dibuat sebelum program, termasuk taklimat awal kepada penduduk, penyediaan logistik dan penjadualan giliran suntikan bagi mengelakkan kesesakan.
Setiap penerima kemudiannya menjalani pemeriksaan kesihatan ringkas dan dipantau selama 15 hingga 30 minit selepas vaksinasi.
“Secara keseluruhan, kerjasama daripada penduduk amat baik, walaupun pada awalnya terdapat segelintir penduduk yang takut dan ragu-ragu, tetapi ramai yang tampil sukarela setelah melihat rakan sebaya mereka menerima vaksin tanpa kesan sampingan,” kata petugas program, Meena Nyala, 36, ketika ditemui semalam.

Penduduk menunggu giliran disuntik vaksin.
Program itu ternyata turut berdepan cabaran seperti laluan yang sukar ke rumah panjang memandangkan musim hujan, kekangan membawa peralatan dalam keadaan sejuk selain usaha memberi kefahaman kepada penduduk yang kurang pendedahan berkenaan maklumat kesihatan.
Bagaimanapun, tahap kesedaran penduduk terhadap kepentingan vaksinasi dilihat meningkat hasil usaha berterusan pihak kesihatan yang menggunakan pelbagai pendekatan seperti ceramah, risalah dan kerjasama dengan ketua komuniti.
Program itu bukan hanya berjaya mengurangkan risiko jangkitan influenza dalam kalangan warga emas, malah turut mengeratkan hubungan antara pasukan kesihatan dan komuniti setempat.
-RJ-





