
Laporan oleh: Hazlinah Samsir/ Foto: Vicky Matanjang & Jeffren Malaning (Sabah)
Kota Kinabalu, 6 Okt (Malaysiaaktif) –
Seramai 2,442 orang menyertai Istiadat Perbarisan Hari Jadi Rasmi Ke – 65 Tuan Yang Terutama (TYT) Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Dr Juhar Mahiruddin di Padang Merdeka, pagi Sabtu.
Jumlah berkenaan mewakili 74 kontinjen yang diketuai oleh Mejar Mohideen Iddin dari 71 Wokshop Divisyen Kem Lok Kawi.
Istiadat yang berlangsung seawal 6.30 pagi itu dimulakan dengan istiadat perbarisan bagi kategori bertanding yang terdiri daripada 69 kontinjen disusuli dengan perarakan masuk Kawalan Kehormatan Utama (KKU) dari batalion ke-7, Rejimen Askar Melayu Di-Raja yang berpengkalan di Kem Kabota, Tawau dengan kekuatan 3 pegawai dan 103 anggota lain-lain pangkat.
Ketibaan TYT dan isteri Toh Puan Norlidah R.M Jasni sekitar pukul 7.30 pagi disambut oleh Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Shafie Apdal dan isteri, Datin Seri Panglima Shuryani Shuib serta Timbalan Ketua Menteri, Datuk Jaujan Sambakong.
Selepas TYT menerima Tabik Hormat Diraja dari Pasukan KKU, lagu kebangsaan dan lagu kebesaran negeri dimainkan dengan diiringi 17 das tembakan meriam yang diketuai oleh Kapten Ahmad Fared Ahmad Fariz dari Rejimen ke-6 Artilery Diraja, Kem Lok Kawi.
Tun Juhar kemudian memeriksa kontinjen perbarisan dengan menaiki kenderaan dan naik semula ke pentas bagi menyaksikan persembahan kawad senyap daripada Tentera Laut Diraja Malaysia dan kawad formasi oleh Jabatan Penguatkuasaan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu.

Komander Kesatria UiTM Cawangan Sabah antara yang menyertai istiadat perbarisan bagi kategori institut pengajian tinggi.
Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Seri Panglima Syed Abbas Syed Ali; Timbalan-timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Madius Tangau dan Christina Liew dan Mayor Bandaraya Kota Kinabalu, Datuk Yeo Boon Hai.
Sebanyak lima kategori dipertandingkan perbarisan turut diadakan iaitu kategori institut pengajian awam atau swasta, kategori swasta atau komersil, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), jabatan kerajaan tidak berpakaian seragam dan jabatan kerajaan berpakaian seragam rasmi.
-FB