
Laporan/foto: Noorshazana Shaadan (Port Dickson)/Mohd Khairulnizam Mohd Yunus, Muhairul Azman Supian
PORT DICKSON, 13 Okt (Malaysiaaktif) – Sehingga pukul 2.00 petang tadi, peratusan keluar mengundi bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) P.132 Port Dickson adalah sebanyak 44 peratus.
Berdasarkan angka yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) itu, peratusan keluar mengundi adalah rendah berbanding jangkaan keluar mengundi yang disasarkan iaitu sebanyak 70 peratus.
Sementara itu, Pengerusi SPR, Azhar Azizan Harun telah membuat tinjauan di Sekolah Kebangsaan (SK) Port Dickson pada pukul 9.00 pagi tadi bagi menyaksikan kelancaran proses pembuangan undi di sini, hari ini.
Turut kelihatan, calon Harapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang berada sama di SK Port Dickson pada pukul 9.00 pagi sebelum bergerak meninjau ke beberapa lokasi pengundian yang lain di sekitar Port Dickson.
Bagi calon Bebas, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad yang juga merupakan satu-satunya calon yang mengundi dalam PRK Port Dickson telah tiba di Sekolah Kebangsaan (SK) Linggi pada pukul 11.15 pagi. Beliau turut berkesempatan meluangkan masa kira-kira 20 minit beramah mesra dengan pengundi dan petugas di pusat pengundi tersebut.
Seramai 68,317 pengundi berdaftar layak mengundi dalam PRK Port Dickson yang meliputi lima Dewan Undangan Negeri (DUN). Sebanyak 32 pusat mengundi telah dibuka seawal pukul 8.00 pagi tadi dengan 169 saluran. Semua pusat mengundi akan ditutup tepat pukul 5.30 petang ini.
Kesemua pusat pengundian berada dalam keadaan dan proses pengundian berjalan dengan lancar. Difahamkan seramai 800 orang anggota keselamatan ditugaskan bagi memastikan kelancaran proses pembuangan undi dalam PRK kali ini.