
Laporan/ foto : Pai Syahira Yahya
PEKAN, 15 Jan (Malaysiaaktif) -Istiadat Pemasyhuran Sultan Pahang ke-6 berlangsung dengan penuh adat dan protokol istana menyaksikan Sultan Pahang ke-6, Sultan Abdullah Al-Haj ibni Sultan Ahmad Shah Al- Musta’in Billah menaiki takhta hari ini.
Istiadat kali ini adalah bersejarah apabila buat pertama kali laungan ‘Allahuakbar’ dan ‘Daulat Tuanku’ bergema sebanyak tiga kali di Balairung Seri Istana Sultan Abu Bakar, Pekan.
Sultan Pahang ke-6 naik takhta berkuatkuasa pada 11 Januari 2019 bersamaan 5 Jamadilawal 1440H setelah diputuskan pada Mesyuarat Jumaah Pangkuan Diraja kali ke-110 di Kuala Lumpur pada Jumaat lepas.
Titah ikrar menerima jawatan telah disempurnakan dalam Istiadat Pemasyhuran Sultan Pahang ke-6 oleh Sultan Abdullah Al-Haj ibni Sultan Ahmad Shah Al- Musta’in Billah tepat pada jam 11.20 pagi Selasa 15 Januari 2019 bersamaan 09 Jamadilawal 1440H.
Titisan air mata Sultan Pahang mengiringi titah Diraja mengenangkan paduka ayahanda yang sedang gering dan memohon agar rakyat jelata berdoa kepada ayahanda dan bonda baginda.
Mengakhiri titah, baginda memetik riawayat Saidina Abu Bakar As-siddiq ketika diangkat sebagai khalifah pertama, “Sesungguhnya aku telah dilantik bukanlah yang terbaik di kalangan kamu. Jika aku berbuat baik, bantulah aku, jika aku berbuat jahat, tegurlah aku,”
Sultan Abdullah yang merupakan putera sulung Sultan Ahmad Shah dan Almarhun Tengku Ampuan Afzan Tengku muhammad diputerakan pada 30 Julai 1959 di Istana Mangga Tunggal, Pekan.
Seramai 1600 tetamu memenuhi perkarangan istana dihadiri oleh Ahli-ahli Jumaah Pangkuan Negeri, Yang Amat Berhormat Menteri Besar Pahang, ahli-ahli mesyurat kerajaan, wakil-wakil rakyat, ketua-ketua jabatan, badan berkanun dan orang awam.