Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraHomeKedah

Landak Raya Kini Dikomersialkan

By 15 Januari 2019Tiada komen2 minit bacaan

 

 Laporan/foto : Fasharina Kholil/Sazli Hassan (Sik)

SIK, 15 Jan (Malaysiaaktif) – Landak raya atau nama saintifiknya hystrix brachyura merupakan haiwan eksotik yang jarang diternak samada sebagai hobi mahupun bagi tujuan komersial.

Namun begitu, bagi Mahadzir Abd Hamid, dia mula jatuh cinta dengan haiwan unik ini sejak tahun 2015 lagi.

Didorong rasa minat serta merasakan landak ini mempunyai keistimewaan tersendiri, dia mula mengorak langkah menjadikan haiwan berdarah panas ini sebagai ternakan serta dikomersialkan.

“Antara faktor lain adalah bagi memelihara kepupusan haiwan tersebut kerana populasi landak raya adalah antara spesis landak yang terancam dan semakin berkurangan disebabkan pemburuan haram serta penerokaan hutan bagi tujuan pembangunan.

“Khuatir seandainya generasi akan datang tidak berpeluang melihat haiwan ini, saya terus menguatkan tekad untuk mengusahakan aktiviti ternakan landak di rumah,” katanya ketika ditemui di Kampung Tala, Jeneri, di sini baru-baru ini.

Mahadzir berharap agar minyak landak ini berjaya menembusi pasaran luar setanding produk yang lain.

Mahadzir berharap agar minyak landak ini berjaya menembusi pasaran luar setanding produk yang lain.

Walaupun begitu ianya tidaklah semudah yang disangka, ini kerana landak raya merupakan haiwan yang dilindungi sepenuhnya oleh Perhilitan di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716).

“Kami perlu mematuhi pelbagai peraturan termasuk kelulusan dan lesen daripada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).

“Akta 716 pula diwujudkan bagi melindungi hidupan liar tempatan dan hidupan liar yang tersenarai dalam Konvensyen Perdagangan Antarabangsa Flora dan Fauna Mengenai Spesies Terancam (CITES),” katanya lagi.

Ujar Mahadzir lagi, landak peliharaannya diletakkan di dalam sangkar yang dibina khas bagi menjamin keselamatan landak tersebut dan juga orang ramai yang datang melihatnya.

Dari segi pemakanan pula, landak ini diberi makan dua kali sehari iaitu dedak, buah-buahan serta tumbuh-tumbuhan. Seekor landak raya matang pula boleh mencecah berat sehingga 15 kilogram.

Sebahagian daripada produk keluaran syarikatnya.

Sebahagian daripada produk keluaran syarikatnya.

“Landak raya mudah dipelihara kerana ia kurang dijangkiti sebarang penyakit jika kebersihannya sentiasa dijaga rapi. Jangka hayat bagi seekor landak pula di antara 10 hingga 15 tahun,” jelasnya yang kini mempunyai hampir 70 ekor landak raya.

Mahadzir turut menambah, ternakan landak raya ini merupakan industri baharu yang perlu diterokai kerana mampu memberi pulangan yang lumayan serta nilai komersial yang tinggi untuk pasaran tempatan dan luar negara.

“Pada tahun 2016, saya mula mendapat idea untuk mengkomersialkan landak sebagai
produk kesihatan luaran seperti minyak landak.

“Terdapat 13 produk yang berasaskan landak raya diproses secara tradisional dan disertai dengan ruqyah ayat-ayat suci al-Quran serta boleh mengubati demam panas, asma, penawar bisa serta lain-lain lagi. Produk-produk ini juga bakal menembusi pasaran Sarawak tidak lama lagi,” tambahnya.

Selain daripada itu, dia turut berhasrat untuk mengadakan kursus pemeliharaan landak kepada orang ramai pada bulan Mac ini. Selain bagi memberi peluang dan pendedahan kepada orang ramai, inisiatif ini juga bagi mendidik orang ramai langkah memelihara serta memulihara populasi haiwan tersebut.

-SH

Tinggalkan komen anda