Skip to main content
Berita SarawakBerita TempatanHome

Pokok Rumbia ‘Nadi’ Utama Kaum Melanau

By 8 Januari 2019Tiada komen3 minit bacaan
Laporan/foto: Robin Junang (Sarawak)

MUKAH, 8 Jan  (Malaysiaaktif) – Kampung Tellian Ulu merupakan lubuk emas bagi rumbia di Mukah. Rumbia merupakan nadi pendapatan utama penduduk kampung Kebanyakan mereka adalah berkebun, berkerja dan pengusaha berkaitan rumbia. Rumbia  diproses menjadi bahan makanan seperti sagu dan ia masih menjadi makanan ruji masyarakat Melanau terutama mereka yang tinggal di Kampung Tellian Ulu dan Kampung Tellian Tengah.

Kebun rumbia di Kampung Tellian kebanyakan berdekatan dengan kawasan  Sungai Tellian serta  cabang-cabang sungainya. Penggunaan pokok rumbia adalah meluas  bukan sahaja untuk dijual dan diproses menjadi makanan tradisional tetapi ada bahagian daripada pokok tersebut digunakan seperti ruyung dijadikan bahan api, dahan dan daun dijadikan kraftangan, atap, dinding dan sebagainya.

Dedeng menggunakan kaedah tradisional menggolek keratan rumbia ke pangkalan

Dedeng menggunakan kaedah tradisional menggolek keratan rumbia ke pangkalan

Bahagian tunggul dan pucuk rumbia yang ditinggalkan mereput pula akan menjadi tempat ulat mulong  bersarang. Ulat mulong bukan sahaja dimakan sendiri  tetapi juga dijual untuk mendapatkan hasil. Kini harga ulat mulong mencecah RM40 sekilogram. Hampir kesemua bahagian di pokok rumbia ini dapat digunakan serta menghasilkan pendapatan. Pokok seribu guna ini bagaikan emas bagi kaum Melanau  Kampung Tellian.

Kerja memproses rumbia secara tradisional telah dilakukan secara turun-temurun dari generasi ke generasi. Kebanyakan kerja dilakukan secara manual dengan sedikit perubahan dari menggunakan kapak kepada gergaji bersawat untuk menebang dan memotong batang rumbia. Dulu dahan rumbia dijadikan tetulang untuk mengikat keratan rumbia, kini digantikan dengan tali yang dicucuk pada tebukkan ruyung. Kebanyakan rumbia yang telah ditebang akan dihanyut melalui sungai.

Pekerjaan ini agak rumit dan memerlukan banyak tenaga, bermula dari membuat laluan ke pangkalan, menentukan arah tebangan, mengupas pelepah, mengerat, menggolek, menghanyut dan menjualnya atau memproses menjadi bahan makanan. Mesin bersawat digunakan untuk mengerat batang rumbia kepada saiz yang biasa iaitu tiga kaki. Penggunaan mesin ini dapat menjimatkan masa dan tenaga berbanding kapak.

Menurut Dumek, pekerjaan rumbia sekarang amat mudah dan pantas. “Dulu guna kapak untuk menebang dan memotong batang rumbia. Keratan pula  kena ikat pada dahan menggunakan paku yang dibuat dari buluh (seperti paku). Kadang-kadang  kena bawa banyak perkakas ke kebun” tambahnya lagi

“Dulu menggolek keratan mulung menggunakan tangan.  Kini cara itu semakin mudah, hanya dengan menggunakan  sepasang batang besi  di mana hujungnya yang ada ‘nat’ dicucuk di kedua-dua hujung  keratan rumbia kemudian digolek  seperti roda di atas landasan.” kata Dedeng.

Dengan adanya gergaji bersawat beberapa kaedah tradisional seperti penggunaan buluh sebagai ‘paterk’ iaitu paku untuk melekat keratan di dahan rumbia tidak digunakan lagi. Di samping itu dahan mulung sebagai tetulang telah digantikan dengan tali. Kini kerja menghanyut atau membawa mulung keluar ke kawasan pemunggahan semakin mudah dengan menggunakan enjin sangkut. Keratan mulung juga tidak lagi dihanyutkan sehingga ke kuala Sungai Tellian tetapi kini lori digunakan untuk memunggah keratan rumbia ke kilang.

Sebagai pekerjaan tradisi bagi menghasilkan pendapatan, rumbia masih menjadi sumber utama sekalipun  adakalanya harga komoditi ini merosot. Bagi pekebun rumbia, kehidupan mereka sudah sebati walaupun pekerjaan ini agak sukar kerana  memerlukan tenaga yang banyak dan menunggu tempoh menuai mengambil masa lima hingga tujuh tahun.

-ER

Tinggalkan komen anda