
Laporan / foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)
GOMBAK, 16 Jan (Malaysiaaktif) – Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli (KATS) memaklumkan banyak negeri bersetuju cadangan kenaikan tarif air dan memberi jaminan ianya tidak akan membebankan rakyat.
Menterinya, Dr Xavier Jayakumar berkata, perkara tersebut sedang dibincangkan antara Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dan negeri-negeri terbabit untuk mendapatkan persetujuan bersama.
“Saya nampak banyak negeri telah setuju cadangan kenaikan tarif air, cuma satu atau dua negeri sahaja lagi yang belum bersetuju tapi perbincangan diteruskan dengan mereka.
“Kita tidak mahu membebankan rakyat tetapi kita perlu faham jika kita nak air bersih, perlu perbelanjaan untuk dapatkan air bersih. Tiada kenaikan tarif air sejak 20 tahun yang lalu,” katanya.
Menurutnya, kerajaan tidak mampu menanggung kos melalui perjanjian yang dibuat sejak 20 tahun dahulu kerana nilai ringgit sekarang telah banyak berubah.

Dr Xavier (berdiri tengah) menyaksikan Majlis Menandatangani MoU antara FRIM dan IWK di Kepong, hari ini.
“Kontrak yang diberikan kepada kontraktor-kontraktor dibayar mengikut nilai semasa. Ada banyak perbezaannya,” jelas beliau.
Ujar Dr Xavier, semua pihak perlu faham bahawa kerajaan ingin menyalurkan air bersih di semua kawasan dan penduduk di Malaysia.
“Ianya memerlukan perbelanjaan dan rakyat boleh memainkan peranan untuk memajukan industri ini. Dua-dua kena kerjasama’” katanya.
Beliau berkata demikian semasa sidang media selepas menyaksikan majlis menandatangani persefahaman (MoU) antara Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) dan Indah Water Konsortium (IWK) di Kepong, hari ini.
Terdahulu, Dr Xavier manyaksikan majlis menandatangani MoU tersebut antara Ketua Pengarah FRIM, Datuk Dr Abd Latif Mohmod dan Ketua Pegawai Eksekutif IWK, Faizal Othman.
MoU tersebut bertujuan mengadakan kerjasama antara kedua-dua pihak dalam aplikasi penggunaan sisa kumbahan terawat iaitu biopepejal untuk penghasilan bahan tanaman berkualiti serta perladangan hutan.
Melalui kerjasama yang dicetus daripada konsep “Waste to Wealth” ini, IWK menyumbangkan kepakaran dalam bidang pengurusan sisa kumbahan domestik dan FRIM dalam penghasilan bahan tanaman dan perladangan hutan.
Biopepejal tersebut digunakan sebagai baja bagi memperbaiki keadaan tanah serta meningkatkan tumbesaran tumbuhan bukan makanan seperti pokok hutan.
Xavier berkata, biopepejal dihasilkan IWK dengan kerjasama FRIM itu untuk program penanaman semula hutan, ladang getah dan pokok yang ditanam Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).
“Hasil kajian mendapati ia adalah bahan yang sangat bagus dan saya harap semua PBT, ladang getah dan FRIM akan menggunakan biopepejal ini yang akan dikomersialkan,” katanya.
Turut hadir, Timbalan Ketua Setiausaha (Tanah dan Sumber Asli), Datuk Suhaimi Mamat; Pengarah Bioteknologi Perhutanan FRIM, Datuk Dr Marzalina Mansor; Pengerusi IWK, Amiruddin Abdul Aziz; Ketua Jabatan Perancangan dan Kejuruteraan IWK, Ir. Mohd Adnan Md Dom; Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) FRIM, Dr Khali Aziz Hamzah, dan Timbalan Ketua Pengarah (Penyelidikan) FRIM, Dr Samsudin Musa.