Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraHomeKedah

Kerajaan Terus Komited Bantu Rakyat Dapat Pekerjaan

By 16 Januari 2019Tiada komen1 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

 

 Laporan/foto: Ahmad Farid Abu Dzarim/Muhamad Azrul Abdullah (Kota Setar)

ALOR SETAR, 16 Jan (Malaysiaaktif) – Kementerian Sumber Manusia dan agensi di bawahnya akan terus komited membantu rakyat mendapatkan pekerjaan tanpa mengira latar belakang dan status pendidikan.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Mahfuz Omar dalam satu majlis dialog peluang pekerjaan di sini malam tadi menjelaskan lebih 170,000 orang dibantu Jobs Malaysia mendapat pekerjaan sepanjang tahun 2018.

“Kementerian akan terus melaksanakan program jelajah ke kawasan-kawasan pedalaman bagi membantu rakyat mendapatkan peluang pekerjaan. Usaha ini akan membantu mereka yang mempunyai kekangan dari segi kewangan atau pengangkutan.

“Kita akan membawa majikan termasuk usahawan-usahawan berjaya kerana menjadi usahawan juga adalah sebahagian daripada pekerjaan,” jelas Mahfuz dalam sesi Dialog Isu Peluang Pekerjaan di sebuah restoran di sini.

Menurut Mahfuz, usahawan daripada kalangan orang kurang upaya turut dibantu dengan diberi peruntukkan sebanyak RM2 juta dalam bentuk geran manakala bagi sektor awam, kerajaan menetapkan kuota satu peratus daripada jumlah keseluruhan pegawai atau anggota dalam kementerian atau jabatan kepada golongan ini.

Sementara itu, ketika mengulas isu kakitangan SPAD dan PLKN yang masih belum mendapat pekerjaan, Mahfuz memaklumkan bahawa kerajaan melalui kementerian terlibat sedang berusaha menempatkan mereka yang terlibat bersesuaian dengan kelayakan mereka.

-SH

Tinggalkan komen anda