Skip to main content
HomeSabah

Riadah Di Luar Kota, Cipta Pengalaman Baharu

By 1 Februari 2019Tiada komen5 minit bacaan
Laporan/ Foto: Fauzrina Bulka/ Azman Jumat (Kota Kinabalu)

KADAMAIAN, 1 Feb (Malaysiaaktif) – Sudah menjadi tren terkini ibu bapa menghabiskan tempoh cuti sekolah dengan membawa anak-anak beriadah di luar kota.

Memberi peluang anak-anak mencuba aktiviti luar dengan mendaki bukit, mandi sungai atau pun berkhemah pastinya akan mencipta pengalaman yang baharu dan menarik buat mereka.

Sulap yang disediakan di Tegudon Tourism Village

Sulap yang disediakan di Tegudon Tourism Village

Rata-rata sebulan sebelum tarikh cuti, rumah-rumah penginapan, hotel, inap desa dan rumah kebun sudah penuh ditempah, secara tidak langsung menyebabkan eko pelancongan di luar bandar juga bertambah akibat permintaan yang tinggi.

Jika ingin merasai udara yang bersih dan segar serta merakamkan pemandangan yang menarik berlatarbelakangkan Gunung Kinabalu, apa kata anda merancang percutian di sekitar Kadamaian yang terletak di Kota Belud (KB).

Antara bilik yang ada di Rest N Joy Guest House

Antara bilik yang ada di Rest N Joy Guest House

Hanya 18 kilometer (km) dari pekan KB anda akan menemui Tegudon Tourism Village yang terletak di Kampung Tegudon iaitu sebuah tempat yang tidak asing lagi akan keindahan langitnya pada pencerap bintang.

Jika malam anda akan dihiasi dengan jutaan bintang manakala siangnya pasti memukau dengan pemandangan air sungai, jambatan gantung dan juga sawah padi.

Menyediakan kemudahan sulap dan khemah, pasti sesuai pada yang berjiwa lasak dan sukakan kelainan, tetapi pada yang datang bersama keluarga dan inginkan sedikit privasi, anda boleh menginap di Rest N Joy Guest House.

Kawasan ini merupakan pilihan yang baik untuk beriadah ketempat eko pelancongan yang berhampiran ataupun jika ingin menikmati air terjun Wasai Minorit, hanya mengambil masa kira-kira sejam setengah perjalanan.

Antara hasil tempatan yang dijual di Eko Kalangadanku.

Antara hasil tempatan yang dijual di Eko Kalangadanku.

Salah satu eko pelancongan yang terhampir ialah Eko Kalangadanku, yang diusahakan sendiri oleh seramai 148 buah keluarga daripada komuniti Kampung Nahaba.

Apa yang menariknya di sini, kawasan persekitarannya sangat bersih dan kemas kerana komuniti akan berganding bahu bergotong royong setiap bulan membersihkan sungai daripada sampah sarap.

Pengerusi Eko Kalangadanku, Dairon Malun

Pengerusi Eko Kalangadanku, Dairon Malun

Untuk tahun pertama beroperasi, mereka mampu mengutip lebih RM85,000 setahun hasil kehadiran pengunjung dan mengagihkan pendapatan tersebut untuk tujuan penaiktarafan infrastruktur serta pembahagian dividen kepada komuniti yang membantu.

Pemberita ketika berbual mesra dengan komuniti Lioguku Silou Silou

Pemberita ketika berbual mesra dengan komuniti Lioguku Silou Silou

Pilihan lainnya jika anda seorang yang sukakan tempat yang privasi dengan kawasan yang rimbun dan redup, teruskan perjalanan sejauh 58km lagi ke Eko Pelancongan Lioguku Silou-Silou yang terletak di Kampung Kaung Malaan.Sulap atau pondok rehat yang disediakan cukup selesa dengan kemudahan untuk barbeku ataupun jika mahu sesuatu yang ringkas, anda juga boleh berkhemah di kawasan tanah lapang mahupun di kawasan pohonan getah.

Pemandangan yang redup di Lioguku Silou Silou

Pemandangan yang redup di Lioguku Silou Silou

35km dari Kampung Kaung Malaan pula ialah Melangkap, sebuah kawasan yang pernah terkesan akibat kejadian gempa yang berlaku pada tahun 2015 hingga mengubah landskap sungai dan kawasan sekitar.

Namun begitu, perubahan landskap yang berlaku sebenarnya memberikan satu punca rezeki yang baharu kerana batuan yang dibawa melalui air sungai yang melimpah dari gunung Kinabalu mewujudkan satu pemandangan yang menarik.

TWRC Hut yang terdapat di Melangkap merupakan inap desa yang selesa, sesuai untuk pasangan yang ingin berbulan madu ataupun keluarga yang gemar menyediakan hidangan sendiri.

Mempunyai dua buah bilik yang boleh menempatkan tiga orang dewasa setiap satunya, satu ruangan khas terbentuk di tengah-tengah dapur jika anda inginkan privasi dan boleh dibuka jika anda berkongsi tempat yang sama bersama rakan dan keluarga.

TWRC Hut yang menyediakan penginapan sesuai untuk berbulan madu

TWRC Hut yang menyediakan penginapan sesuai untuk berbulan madu

Terletak berhampiran jalan utama, anda disarankan untuk bangun seawal mungkin untuk mendapatkan pemandangan Gunung Kinabalu yang cantik dan berada hanya di sebelah belakang tempat penginapan anda.

Eko pelancongan yang ada terletak berhampiran antara satu sama lain di kawasan Melangkap, namun masing-masing punya kelebihan dan keunikan di kawasan mereka yang anda perlu rasai sendiri jika bertandang ke sana.

Pasir hitam yang cantik dapat dilihat di Kisakot Campsite

Pasir hitam yang cantik dapat dilihat di Kisakot Campsite

Umpamanya jika anda ke Kisakot Campsite dan ingin merasai sendiri kedinginan air sungainya, anda pasti terpegun melihat pasirnya yang berwarna hitam cantik, kesan daripada banjir yang berlaku ketika gempa dahulu.

Begitu juga jika anda ke Paramat Garden yang terletak hanya dua minit perjalanan daripada Kisakot Campsite, kawasannya agak redup dan pastinya anda berasa puas bermandi manda di sungai walaupun ketika tengah hari.

Jika anda bernasib baik boleh nikmati kunang-kunang di Paramat Garden.

Jika anda bernasib baik boleh nikmati kunang-kunang di Paramat Garden.

Di Paramat Garden juga anda boleh cuba untuk jungle trekking atau menyusuri hutan yang terletak di seberang sungai dan pada waktu malamnya, anda pasti terpesona dengan cahaya kunang-kunang yang menghiasi pepohonan.

Pemilik Paramat Garden

Pemilik Paramat Garden, Idimin

Berhadapan dengan Paramat Garden, anda disarankan untuk cuba bermain dengan ikan jinak Tagal Sungai Paramat, juga terletak di Melangkap Tiong.

Di sini, Anda boleh cuba rasai sendiri ketenangan umpama di spa sambil menyuap ikan yang jinak, dan jika anda bernasib baik, mungkin anda dapat melihat kelibat memerang yang cuba mencuri ikan di sungai.

Apa yang manis, disebabkan semua keindahan yang dikurniakan ini serta inisiatif pengusaha-pengusaha eko pelancongan melayakkan Melangkap meraih Anugerah Asean Community Based Tourism Standard (2019 – 2021) di Ha Long City Viet Nam pada 18 Januari lalu.

Sehubungan itu, Pengerusi Eko Sistem Tagal Melangkap Tiong, Damius Talindap menghargai pemilihan Melangkap sebagai produk Persatuan Pelancongan Kadamaian (KATA) untuk dipertandingkan di peringkat Asian.

Ikan di Melangkap Tiong disuap dengan makanan

Ikan di Melangkap Tiong disuap dengan makanan

“Mewakili Melangkap, kami sangat berterima kasih kepada Presiden KATA, Walter Kandayon dan juga kepada Ketua Biro Latihan dan Pendidikan KATA, Boniface kerana bertungkus lumus membantu sepanjang penilaian Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) sehingga mengangkat kejayaan KATA.

Komuniti Melangkap Tiong bersama ikan jinak.

Komuniti Melangkap Tiong bersama ikan jinak.

“Sepanjang tempoh penilaian, semuanya berjalan lancar dan mereka telah menilai beberapa lokasi seperti kawasan mendaki, perkhemahan, inap desa dan juga tagal.

“MOTAC turut memuji usaha dan kerjasama untuk membantu pegawai-pegawai MOTAC dalam penyediaan dokumen yang diperlukan sehingga meyakinkan mereka untuk mengangkat KATA ke satu tahap yang membanggakan.

“Harapan kami bagi pengusaha di Melangkap, moga kejayaan ini akan membuka ruang bagi pemasaran produk eko pelancongan berasaskan komuniti ke peringkat global,” katanya.

Dalam pada itu, Boniface berpendapat Pencalonan KATA dalam Anugerah Asean Community Based Tourism adalah suatu pengiktirafan kepada pelancongan luar bandar berasaskan komuniti di Kadamaian.

“Pembangunan industri pelancongan berasaskan komuniti di Kadamaian berkembang dengan pesat sekali.

Boniface (bertopi) dan Damius menjawab dengan tenang soalan daripada MOTAC.

Boniface (bertopi) dan Damius menjawab dengan tenang soalan daripada MOTAC.

“Mukim Melangkap telah memenuhi ruangan media sosial seperti Facebook, Instagram dan suratkhabar di seluruh Malaysia, dan ini merupakan kuasa dan kesan pemasaran secara digital.

“Akses jalan raya yg dinaiktaraf tidak dinafikan telah melonjakkan lagi industri pelancongan di Melangkap, dan mungkin itulah faktor yang mempengaruhi MOTAC dalam pemilihan anugerah tersebut,” ujar Boniface.

Barisan pengusaha-pengusaha pelancongan berasaskan komuniti Kadamaian yang hadir pada majlis anugerah.

Barisan pengusaha-pengusaha pelancongan berasaskan komuniti Kadamaian yang hadir pada majlis anugerah.

Katanya, Beliau gembira ketika dimaklumkan akan keputusan penilaian kerana ia merupakan pengiktirafan kepada komuniti di Melangkap dan Kadamaian secara keseluruhannya.

“Harapan KATA, semoga anugerah ini akan dijadikan sebagai satu dorongan untuk komuniti Kadamaian terus memperkasa dan mengusahakan pelancongan berasakan komuniti dan secara peribadi, saya berharap agar komuniti di Kadamaian terus bekerjasama dengan KATA dalam mencapai dan menjayakan visi dan misi dalam persatuan bersama-sama,” tambahnya.

EM

Tinggalkan komen anda