
Laporan/foto: Robani Nabi Ahmad (Kota Bharu)
TUMPAT, 10 Mac (Malaysiaaktif)- Seni suara kokokan Ayam Hutan Hibrid menjadi kegilaan baharu peminatnya sekaligus mempelbagaikan lagi hiburan masyarakat di negeri ini.
Kegilaan terhadap seni suara unggas dapat dilihat dalam Pertandingan Kokokan Ayam Hutan Hibrid Terbuka Tumpat, bertempat di Kebun Kelapa Sawit Pok Nik, Kampung Bunut Sarang Burung, Tumpat.
Suasana sebelum ini sunyi bertukar menjadi hingar- bigar sebaik sahaja pertandingan dimulakan, disusuli bunyi kokokan Ayam Hutan Hibrid. Pemilik ayam tidak putus-putus berteriak dan mengagah ayam mereka supaya berkokok, hadiah ditawarkan ialah kipas dan toto.
Penganjur pertandingan, Rosli Senik atau lebih dikenali dengan panggilan ‘Pok Lok’ atau ‘Julok’, 58, mengakui terkejut dengan sambutan luar biasa yang diberikan oleh peminat seni suara ayam ini.
Katanya, ” Walaupun kali pertama dianjurkan, ia berjaya menarik 65 peserta untuk menyertai pertandingan ini dengan yuran penyertaan RM 12 setiap seekor ayam.”
“Pertandingan seni suara Ayam Hutan Hibrid dinilai berpandukan pada jumlah kokokan. Lebih banyak kokokan yang dilontarkan maka ayam tersebut akan dinobatkan sebagai juara.” tambahnya.
Penganjur bersama, Abu Bakar Abdul Majid, 40 , berkata, ” Sambutan luar biasa ini menyemarakkan lagi semangat kami untuk meneruskan penganjuran di masa akan datang.”
Tambah beliau, “Ayam Hutan Hibrid dinilai pada galaknya kokokan. Ayam yang paling banyak berkokok akan dijulang sebagai pemenang. Itulah uniknya pertandingan Ayam Hutan Hibrid ini berbanding seni suara burung Ketitir, Terkukur, Candik dan Merbah Jambul.”
Beliau sendiri mempunyai lebih 10 ekor Ayam Hutan Hibrid. Proses pembiakan baka untuk pasaran juga sedang dilakukan kerana mendapat permintaan yang tinggi dari peminat unggas di Negeri Kelantan.
Ayam Hutan Hibrid milik Sabri Yusof, 43, dinobatkan sebagai juara menewaskan 65 ekor ayam lain. Ayam beliau yang bernama ‘Jebat’ mempamerkan kokokan bergaya sebanyak 26 kali sepanjang tempoh 15 minit pusingan pertama dan kedua.
‘Terkejut apabila Jebat menang kerana baru kali pertama Jebat masuk bertanding. Rezeki berpihak pada Jebat dan saya gembira dengan kejayaan ini, ujarnya.
-NAZ