Skip to main content
Berita TempatanHomeSabah

Stadansa Buktikan Mampu Cemerlang Dalam Pelajaran dan Tarian

By 10 Mac 2019Tiada komen8 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:
 Laporan/foto: Fauzrina Bulka/Azman Jumat (Kota Kinabalu)

Kota Kinabalu, 10 Mac (Malaysiaaktif) – Pastinya tidak mudah untuk membahagikan masa antara pelajaran dan hobi jika tidak punya disiplin yang tinggi, apa lagi jika perlu cemerlang dalam kedua-dua bidang, sudah tentu keadaan akan menjadi sangat mencabar. 

Namun dengan kecekalan dan kesungguhan murid-murid Sekolah Rendah Kebangsaan St. Agnes yang baharu berusia 10 hingga 12 tahun membuktikan yang mereka boleh cemerlang dalam pelajaran dan juga tarian.

Berbual dengan Guru Penyelaras Seni Tari, Masliah Musa, 38, ternyata banyak perkara dikongsikan mengenai semangat dan bakat anak-anak muridnya dalam menjalani latihan setiap hari, selepas waktu persekolahan, selama berbulan-bulan.

“St. Agnes merupakan Sekolah Kluster Kecemerlangan (SKK) yang kebitaraan kami adalah dalam seni tari, kumpulan kami yang digelar Stadansa diwakili oleh pelajar-pelajar yang telah melepasi uji bakat yang dijalankan.

“Apabila sudah lulus ujibakat, mereka akan mula menjalani latihan setiap hari, ada yang tidak sanggup akan tinggalkan kumpulan ini, yang kita lihat masih kekal di sini memang betul-betul minat menari.

“Mereka bertahan di dalam kumpulan ini juga kerana komitmen ibu bapa masing-masing yang dapat meluangkan masa menghantar mereka latihan dan jemput semula pada waktu petang,” kata Masliah.

Masliah Musa

Masliah Musa

Tambahnya, rutin pasukan selepas tamat waktu persekolahan pada 12.10 tengah hari, mereka akan makan terlebih dahulu sebelum membuat kerja sekolah sementara menanti  latihan dimulakan pada 1.30 petang.

Melayani karenah murid-murid yang pelbagai sudah merupakan perkara biasa, di awal latihan sering juga mereka mendengar keluhan letih atau kaki melecet tetapi lama kelamaan anak-anak ini sudah biasa.

Kata Masliah, mereka jarang mendepani masalah disiplin di dalam pasukan ini malahan, kumpulan Stadansa sering menampilkan persembahan yang baik sama ada dalam pelajaran atau persembahan tarian.

“Kami memang memastikan mereka ini cemerlang kedua-duanya, kerana biasanya kami akan ‘ugut’ mereka jika pelajaran merosot, mereka tidak akan dibenarkan menyertai kumpulan ini lagi. 

“Memandangkan mereka memang benar-benar minat, mereka tidak akan melepaskan tarian ini, walau bagaimanapun kami akan bantu untuk mereka seimbangkan keduanya, dan setakat ini keputusan pelajar tahun 6 semuanya baik.

“Sebenarnya ada juga murid tahun 1 hingga 3 yang berminat untuk turut serta, tetapi memandangkan St. Agnes merupakan persekolahan dua sesi, agak sukar untuk mereka jalani latihan yang dibuat pada waktu kelas.

Suasana sekitar sesi latihan pasukan Stadansa

Suasana sekitar sesi latihan pasukan Stadansa

“Kelonggaran kami beri hanya untuk tahun 3, tetapi hanya pada waktu ko-kurikulum sahaja dan kemudian bila mereka sudah dalam tahun 4 nanti, barulah mereka mula sertai latihan seperti yang lain,” jelasnya.

Menurut Masliah, mereka mulai sertai pertandingan tarian di sekitar Sabah dan Semenanjung sejak 2011 sebelum cuba nasib ke peringkat antarabangsa pada tahun lepas.

Manisnya, penyertaan julung kali Dance World Cup yang diadakan di Sitges, Sepanyol itu memberi tuah apabila mereka memenangi pingat emas untuk dua kategori yang disertai iaitu Children Small Group National and Folklore Dance dan juga Children Duet/Trio National and Folklore Dance.

“Sudah tentu ketika pertandingan itu mereka persembahkan tarian tradisi iaitu tarian pengalai abai daripada kaum Sungai, Sandakan serta tarian japin tetapi dimasukkan elemen kreatif sedikit supaya tidak mendatar.

“Apa yang menarik, murid-murid ini sebelumnya menyertai kumpulan Stadansa kerana hanya ingin menari, jadi bila diajar satu-satu jenis tarian dan diberi penjelasan asal usul tarian tersebut, secara tidak langsung dapat menambah pengetahuan mereka.

“Selama kumpulan ini ditubuhkan, sudah banyak tarian yang mereka pelajari dan jurulatih mereka pula lebih suka mengajar tarian etnik yang jarang dipersembahkan contohnya tarian Pengalai Abai yang saya sendiri juga baharu tahu,” ujarnya.

Suasana sekitar sesi latihan pasukan Stadansa

Suasana sekitar sesi latihan pasukan Stadansa

Menyentuh mengenai kostum yang digunakan pula biasanya dijahit sendiri oleh guru-guru melainkan yang sukar akan mereka tempah daripada tukang jahit.

“Kos untuk kostum digunakan daripada peruntukan yang diberikan untuk SKK yang sedikit daripadanya diasingkan untuk baju, dan jika mereka dijemput oleh agensi luar untuk membuat persembahan,  bayaran yang diterima akan dimasukkan dalam tabung kelab bagi membiayai kos baju dan perjalanan mereka.

“Untuk persembahan pula biasanya akan dikenakan lingkungan minima RM500 bergantung pada bilangan penari, ukuran pentas, bilangan jenis tarian serta kesukaran untuk mempersembahkannya.

“Ibu bapa juga banyak membantu dari segi penyediaan makan minum anak-anak jika Stadansa perlu menyertai pertandingan yang perlu bermalam sekaligus dapat mengurangkan kos kerana kami tidak boleh bergantung sepenuhnya pada dana SKK,” terangnya.

Untuk tahun ini juga sekali lagi St. Agnes akan menyertai pertandingan Dance World Cup yang akan diadakan di Portugal pada Jun nanti dan persediaan ke sana sudah pun dimulakan beberapa bulan awal dari segi persembahan, kostum, dokumentasi, tiket penerbangan, makan dan penginapan.

“Menyertai pertandingan besar sebegini sudah tentu kami perlu mendapatkan tajaan dan bantuan. Anggaran keseluruhan untuk 10 orang murid, dua orang guru serta tiga orang jurulatih beserta yuran yang perlu dibayar dalam matawang euro nanti adalah kira-kira RM130, 000.

Suasana sekitar sesi latihan pasukan Stadansa

Suasana sekitar sesi latihan pasukan Stadansa

“Dalam hal ini, guru dan ibu bapa bertungkus lumus untuk mendapatkan tajaan dan masing-masing sedang menjalankan peranan untuk menjayakan hasrat mempersembahkan tarian tradisi ke pentas antarabangsa.

“Pengalaman pada tahun lepas, dana kami tidak mencukupi, di tambah lagi kerana peralihan kuasa yang berlaku, kami juga tidak banyak meminta daripada kerajaan negeri.

“Oleh itu, ibu bapa telah menanggung separuh kos tiket manakala makan minum anak-anak serta penginapan di sana ditanggung oleh sekolah dengan bantuan dana dari lembaga sekolah dan juga Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dengan anggaran kos sebanyak RM5,000 untuk seorang murid,” jelasnya lagi.

Ironinya, dengan usaha dan masa yang dilaburkan untuk pertandingan itu nanti, pemenang yang berjaya hanya akan membawa pulang sekeping sijil, medal dan juga piala tanpa wang tunai.

Sudah pasti tidak akan ada pulangan semula kepada dana yang telah dikeluarkan oleh pihak sekolah mahupun ibu bapa, namun masing-masing sudah sedia maklum kerana apa yang mereka lakukan hanya untuk pencapaian dan prestasi serta menambah pengalaman anak-anak sendiri.

“Apa yang saya lihat, mana-mana penari yang pernah mewakili negara mempunyai peluang yang besar jika berminat untuk meneruskan pelajaran ke sekolah seni yang hanya ada tiga buah di seluruh negara iaitu di daerah Sandakan, Sabah, Sarawak dan Johor.

Suasana sekitar sesi latihan pasukan Stadansa

Suasana sekitar sesi latihan pasukan Stadansa



“Pada tahun lepas, Kerajaan negeri turut memberi penghargaan melalui Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah yang menjemput Stadansa membuat persembahan pada Malam Tugu Budaya serta penganugerahan sijil,” kata Masliah.

Harapannya tahun ini dengan pencapaian yang sudah dibuktikan pada tahun lepas, ada pihak yang sudi membantu menambah dana supaya bakat murid-murid dapat dikembangkan ke peringkat dunia kerana pada tahun lepas ada sekolah yang layak untuk turut serta tetapi tidak dapat pergi kerana tiada dana.

“Memang sedih jika Standansa tidak dapat menghantar wakil kerana bakat mereka hanya setakat di situ sahaja dan mereka tidak dapat membawa nama Malaysia khususnya Sabah kerana kita akan bawa tarian Sabah itu sendiri.

“Secara peribadi, bagi menghargai bakat mereka yang sungguh-sungguh berlatih di usia muda dan telah membawa nama negara, sekurang-kurangnya ada sedikit sagu hati diberikan kepada mereka supaya mereka lebih bersemangat untuk sertai lagi.

“Bukan imbuhan wang yang utama dalam hal ini, tetapi kalau ada motivasi begitu sekurang-kurangnya mereka rajin untuk terlibat dengan sesuatu yang berfaedah berbanding membuang masa dengan gajet.

“Lagi pun pencapaian mereka dalam pelajaran sangat memberangsangkan, kerana jika dilihat tarianlah yang membantu mereka untuk fokus dari segi tarian dan disiplin kerana perlu fokus dalam mengingati langkah,” katanya menamatkan perbualan.

Sementara itu, salah seorang ibu Nurulhaida Hamazulan, 43, meluangkan masa menemani anaknya Nurul Damia Qistina Hendra Octovian, 11, berlatih sebagai tanda sokongan.

Menurutnya, di awal penglibatan anak bongsunya itu, Nurulhaida hanya dimaklumkan oleh Nurul Damia selepas anaknya itu berjaya menjalani uji bakat untuk menyertai Standansa.

Nurulhaida Hamazulan.

Nurulhaida Hamazulan.



“Namun begitu, saya tidak mempunyai masalah dengan jadualnya kerana saya tahu walaupun latihan dibuat setiap hari, mereka memang ada satu slot untuk selesaikan kerja sekolah dan mengulangkaji pelajaran.

“Keputusan peperiksaannya pula lebih baik selepas aktif menari, malahan dia dapat naik kelas. Saya juga suka dia sertai Standansa kerana dapat mengurangkan sikap pemalunya,” kata Nurulhaida.

Tambahnya, memandangkan sekarang sangat banyak budaya luar mempengaruhi anak muda sekurang-kurangnya dengan penglibatan bersama Stadansa dapat menerapkan nilai budaya sendiri sejak kecil.

“Selepas anak saya terlibat dengan Stadansa, saya nampak banyak perubahan. Selepas dia sertai, banyak benda yang saya nampak ada perubahan kerana guru-guru sangat menitikberatkan disiplin mereka.

“Jika jurulatih kata mesti makan sayur, dia akan makan sayur, begitu juga jika dilarang minum air sejuk, mereka akan patuh sedangkan kalau kita sebagai ibu bapa melarang belum tentu mereka akan dengar.

“Walau ada orang cakap aktiviti begini akan menganggu pelajaran, tapi saya lihat bila dia aktif begini, otaknya akan sentiasa bergerak kerana setiap masa perlu menghafal langkah,” terangnya.

Kumpulan Stadansa yang akan mewakili negara ke Portugal Jun ini

Kumpulan Stadansa yang akan mewakili negara ke Portugal Jun ini

Menyentuh mengenai pertandingan Dance World Cup nanti, Nurulhaida menyokong penuh penglibatan anaknya kerana baginya peluang begitu tidak akan selalu diperoleh.

Namun sebagai ibu bapa, dia berharap kerajaan negeri dapat melihat kesungguhan anak-anak yang berlatih berbulan-bulan dan menyertai pertandingan dengan mengeluarkan belanja sendiri sekurang-kurangnya dengan memberi mereka kelebihan dan jalan mudah jika ingin meneruskan pelajaran di sekolah seni nanti.

Dalam pada itu, Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Assafal P. Alian menyatakan rasa bangga apabila tarian tradisi Sabah dipersembahkan di luar negara.

“Selain mempersembahkan keindahan seni budaya dan kepelbagaian etnik Sabah, ianya juga turut menjadi tarikan masyarakat luar untuk datang sendiri melihat dari mana seni budaya tersebut bermula.

“Dalam hal ini, apabila tarian tradisi Sabah dipersembahkan, sudah tentulah akan menarik mereka datang ke sini, dan ini baik untuk industri pelancongan negeri ini,” katanya ketika dihubungi.

Menurut Assafal juga, setakat ini Kementerian tidak mempunyai sebarang peruntukan dalam enakmennya berhubung imbuhan atau penghargaan kepada pelajar yang selalu mewakili negara.

Assafal P. Alian

Assafal P. Alian

“Namun demikian, Kementerian sentiasa memberi sokongan dan dorongan terhadap perkara ini dalam pelbagai bentuk yang boleh dibincang dari segi kesesuaianya.

“Selaku Wakil Rakyat, saya amat berbangga dengan pelajar yang aktif mewakili negara dalam usaha memperkenalkan seni budaya negeri Sabah dan dalam masa yang sama masih mampu mencapai keputusan cemerlang dalam pendidikan.

“Ini membuktikan bahawa aktiviti luar bilik darjah bukanlah satu penghalang kepada kecemerlangan pendidikan, apa yang penting kebijaksanaan dalam mengurus masa sesuai dengan keperluan.

“Dalam masa sama, mungkin juga sebenarnya aktiviti seni ini membantu pelajar untuk fokus dan kreatif dalam pembelajaran mereka,” ujarnya.

EM

Tinggalkan komen anda