Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraHomeKedah

Pasar Percuma Medium Baharu Bantu B40

By 5 Mac 2019Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

 

 Laporan/foto: Fasharina Kholil/Md Sabri Hamid (Sik)

SIK, 5 Mac (Malaysiaaktif) – Menyedari kepentingan untuk mendekati serta mendampingi golongan yang kurang berkemampuan, Pertubuhan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Kelab Anak-Anak Sik (KAAS) komited dalam menyantuni golongan kurang berkemampuan khususnya B40.

KAAS mengambil insiatif bagi melaksanakan Program Pasar Percuma dengan kerjasama Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) Negeri Kedah. Penganjuran yang telah memasuki siri keempat di Kg Betong Dalam, di sini baru-baru ini ternyata mendapat sambutan yang menggalakkan serta diterima baik oleh segenap lapisan masyarakat

Timbalan Pengerusi KAAS, Sabri Md Hamid, berkata aktiviti kemasyarakatan yang dijalankan ini adalah bagi mendekati golongan kurang berkemampuan serta miskin agar mereka tidak merasa tersisih daripada perhatian.

“Program ini merupakan salah satu kaedah baharu yang santai bagi mendekati serta menyantuni peringkat akar umbi. Selain daripada itu, ia juga bertujuan bagi membantu serta meringankan beban golongan sasar.

Antara barangan pakaian yang disumbangkan.

Antara barangan pakaian yang disumbangkan.

“Orang ramai boleh memilih pakaian yang disukai mereka dan pakaian-pakaian tersebut merupakan sumbangan daripada saudara mara serta kakitangan KWSP,” katanya ketika ditemui.

Ujarnya lagi, walaupun sekadar pakaian terpakai namun semuanya masih berada dalam keadaan yang baik dan elok.

“Kami akan asingkan jenis pakaian serta sekiranya perlu kami akan basuh baju-baju tersebut terlebih dulu. Kami hanya akan berikan baju-baju yang dirasakan elok dan bersesuaian saja.

“Ianya satu kepuasan kepada kami apabila dapat membantu mereka dengan cara kami sendiri,” jelasnya lagi yang juga merupakan salah seorang kakitangan di KWSP Kedah.

Tambah Sabri, selain daripada pakaian, pihaknya dan KAAS juga berhasrat untuk menyumbangkan peralatan sekolah khususnya buat pelajar daripada keluarga berpendapatan B40.

“Semoga usaha yang kecil ini dapat diteruskan dari masa ke masa serta lebih banyak pihak atau individu tampil bagi membantu meneruskan kesinambungan usaha ini,” jelasnya mengakhiri perbualan.

-SH

Tinggalkan komen anda