Skip to main content
Berita TempatanHomeKelantan

Rose Debab Menambat Hati

By 19 Mac 2019Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:
Laporan/Fhoto : Robani Nabi Ahmad (Kota Bharu)

KOTA BHARU, 19 Mac (Malaysiaaktif) – Susuk badan cantik ala model dan bijak memberi ‘pose’ terbaik ketika di hadapan pengadil memberi kelebihan kepada seekor kucing bernama Rose Debab, berumur lapan bulan dari Negeri Terengganu ketika di temui sempena Royal Canin Kelantan Fun Cat Show, di Ruang Legar KB Mall, Kota Bharu. Lebih 2000 orang mengunjungi pertandingan hari ini.

Ros Debab juga menarik perhatian pengunjung yang hadir sempena pertandingan ini. Seekor kucing yang mempunyai kelainan fizikal serta unik.

Pemiliknya, Mohd Hirfisham Zamdin, 29, berkata Rose Debab ditatang bagai minyak yang penuh, dijamu makanan berkhasiat, diberi vitamin dan makanan tambahan untuk memastikannya sentiasa sihat, cantik, gebu dan bergaya. Walaupun tidak dinobatkan sebagai pemenang, beliau bersyukur kerana Rose Debab mempunyai ramai peminat terutama di laman media sosial.

“Sebelum menyertai pertandingan ini, saya mengambil masa selama tiga bulan untuk melatih serta membiasakan Rose Debab dengan suasana pertandingan supaya ia tidak janggal apabila beraksi di hadapan juri.” ujarnya.

Aksi Rose Debab ketika di nilai oleh pengadil

Aksi Rose Debab ketika di nilai oleh pengadil

“Selain faktor kecantikan, saiz, warna bulu yang terang, sihat, jinak, gaya dan umur yang masih muda memberi kelebihan utama kepada Rose Debab,” tambahnya.

Menurutnya lagi setiap bulan dia perlu membelanjakan RM300 untuk Rose Debab termasuk membeli vitamin bagi memastikan bulunya kelihatan cantik dan berseri.

“Dalam masa sama, untuk memastikan bulu sentiasa lembab, saya akan memandikan kucing ini sekali sehari dan kebiasaannya ia dilakukan sebelah petang selepas pulang dari kerja.” jelasnya lagi.

Pertandingan bermula seawal pukul 10.30 pagi dan berakhir sekitar pukul 6.30 petang ini. Lima kategori yang dipertandingkan ialah Adult Long Hair, Adult Short Hair, Kitten Long Hair, Kitten Short Hair dan Kucing Kampung.

Program anjuran Kelab Pencinta Kucing Pantai Timur Ini mendapat sambutan yang menggalakkan daripada peminat-peminat kucing terutamanya dari Negeri Kelantan, Terengganu dan Pahang.

Dalam pertandingan ini, johan disandang oleh kucing bernama Tiffany, kategori kitten longhair dari Rantau Panjang, Kelantan. Pemenang membawa pulang RM500, sijil dan trofi tajaan daripada Royal Canin Malaysia dan tajaan bersama peralatan serta hadiah daripada Candy Pet House.

Tiga juri profesional dari Kuala Lumpur dan Terengganu mengadilinya. Pertandingan dinilai melalui kebersihan, tingkah laku dan personaliti kucing.

-NAZ

Tinggalkan komen anda