Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraHomeKedah

Tujuh Projek Mega untuk Kedah

By 19 Mac 2019Tiada komen2 minit bacaan

 

 Laporan/foto: Rose Rasidi/Bashsyar Abdullah (Alor Setar)

ALOR SETAR, 19 Mac (Malaysiaaktif) – Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali telah mengumumkan agenda kerajaan untuk melaksanakan tujuh projek mega bagi pembangunan sosio ekonomi di negeri ini yang melibatkan peruntukan melebihi RM3.2 bilion.

Azmin mengumumkan beberapa projek berimpak tinggi yang telah diluluskan iaitu pembangunan Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP) yang bernilai RM1.6 bilion, pembangunan Hab Industri Pembuatan dan Logistik bernilai RM 300 juta, serta pelaksanaan kajian impak untuk pembinaan Taman Industri Petro-Kimia di Gurun bernilai RM2 juta.

“Kerajaan turut meluluskan pembinaan Perpustakaan Digital di Alor Setar, pembinaan Lebuhraya Koridor Utara, dan memperkenalkan kad KIDA (Kasih Ibu Darul Aman) untuk golongan ibu yang menjadi ketua isi rumah bagi meringankan bebanan kos sara hidup yang ditanggung oleh kerajaan negeri dengan bantuan kerajaan persekutuan.

Turut hadir, barisan kepimpinan kerajaan negeri Kedah dan Kementerian Hal Ehwal Ekonomi.

Turut hadir, barisan kepimpinan kerajaan negeri Kedah dan Kementerian Hal Ehwal Ekonomi.

“Di atas permohonan Menteri Besar, Mesyuarat ke-20 Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) bagi Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) telah meluluskan pelaksanaan program yang bernama Kasih Ibu Darul Aman (KIDA) dengan peruntukan sebanyak RM 30 juta setahun,” katanya sempena lawatan kerjanya di Wisma Darul Aman, di sini hari ini.

Menurut Azmin, kehadiran beliau ke negeri ini adalah untuk menterjemahkan agenda utama yang terkandung dalam Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-11 (KSP RMKe-11) antaranya adalah untuk merapatkan jurang pembangunan antara wilayah.

“Dasar ini dicerakinkan demi merangkul negeri-negeri yang dikenal pasti seperti Sarawak, Sabah, Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis agar tidak terpisah daripada arus perdana pembangunan negara. Kawasan pendalaman diberi tumpuan agar seiring dalam menikmati kesan pembangunan ini.

Penjawat awam negeri dan persekutuan turut hadir memberi perhatian dalam pembentangan projek ekonomi negeri Kedah.

Penjawat awam negeri dan persekutuan turut hadir memberi perhatian dalam pembentangan projek ekonomi negeri Kedah.

“Dasar ini mencerakinkan semangat inklusiviti dan nilai keadilan yang akan menyumbang kepada kekayaan untuk dikongsi bersama-sama seluruh rakyat Malaysia dengan berkonsepkan perkongsian kemakmuran,” ujarnya lagi.

Kementerian Hal Ehwal Ekonomi turut meluluskan peruntukan tambahan bernilai RM1.132 bilion sebagai Peruntukan Pembangunan Negeri Kedah bagi tahun 2019 yang merangkumi 201 projek bernilai RM1.049 bilion yang akan diteruskan dan 51 projek baharu yang bernilai RM82.5 juta.

-SH

Tinggalkan komen anda