
Laporan/foto: Rabiaton Adawiah Ahmed Tajudin (Johor Bahru)/Royal Press Office (RPO)
JOHOR BAHRU, 30 Apr (Malaysiaaktif) – Meski pun belum genap setahun ditubuhkan, Pertubuhan Amal Isteri Wakil-Wakil Rakyat Pakatan Harapan Negeri Johor (JASMINE) banyak melaksanakan projek kebajikan yang sangat bermanfaat kepada masyarakat.
JASMINE yang bakal genap setahun ditubuhkan pada 22 Oktober ini memberi harapan gembira buat warga Johor khususnya golongan miskin, orang kurang upaya (OKU), anak yatim dan ibu tunggal.
Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Almarhum Sultan Idris Shah berkenan berangkat ke Majlis Malam Sentuhan Kasih JASMINE untuk melancarkan Pertubuhan Amal Isteri Wakil-Wakil Rakyat Pakatan Harapan Negeri Johor (JASMINE), baru-baru ini.
Turut hadir, Menteri Besar Johor selaku Penaung JASMINE, Datuk Dr Sahruddin Jamal, Datin Dr Nila Armila Mukdan serta Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Datuk Azmi Rohani dan isteri.
Menurut Pengerusi JASMINE, Dr Nila Armila, badan ini ditubuhkan untuk menjalin dan merapatkan hubungan silaturrahim dalam kalangan isteri wakil-wakil rakyat melalui pelaksanaan aktiviti-aktiviti amal kebajikan di Negeri Johor.
“Di samping aktiviti-aktiviti kebajikan yang dijalankan, JASMINE juga tidak ketinggalan mengadakan aktiviti-aktiviti sukan dan sosial yang melibatkan penyertaan golongan wanita dan sasar.
“Ini kerana sebagai NGO yang berkonsepkan amal kebajikan, JASMINE akan terus menjadi pemacu kepada wanita di Johor dalam usaha memperkasakan peranan wanita supaya martabat dan pembabitan wanita dapat dipertingkatkan,” katanya.
“Seperti cantiknya warna merah jambu pada logo JASMINE, begitulah pendekatan yang akan dibawa JASMINE. Lembutnya berbudi, penuh kasih sayang dan prihatin dalam mendekati golongan yang memerlukan perhatian kerana mereka ini adalah tanggungjawab dan amanah yang perlu kita sama-sama bantu,” jelasnya lagi.
Selaku Pengerusi JASMINE yang baharu, Dr Nila Armila juga mengucapkan setinggi-tinggi tahniah dan terima kasih kepada pengerusi terdahulu, Datin Nora Mohd Som yang telah menerajui JASMINE.

Permaisuri Johor bersama-sama Penaung dan Pengerusi JASMINE, Setiausaha Kerajaan Negeri Johor dan isteri-isteri wakil rakyat kerajaan negeri Johor
“Buah fikiran dan tunjuk ajar beliau menjadi tunjang terhadap usaha gigih ahli JASMINE dalam menyokong kegiatan-kegiatan yang telah direncanakan,” ujarnya.
Selain pelancaran JASMINE, objektif program penganjuran adalah untuk mengumpul dana amal bagi membiayai aktiviti kebajikan JASMINE untuk membantu golongan kurang berkemampuan, orang kurang upaya, ibu tinggal, anak yatim, mangsa bencana dan lain-lain.
Dalam pada itu, Dr Nila Armila mempersembahkan kepada Permaisuri Johor, dana sumbangan sejumlah RM200 ribu buat Yayasan Kanser Tunku Laksamana Johor dan Tabung Amanah Rumah Perlindungan Kanak-Kanak Johor telah menerima dana RM100 ribu yang telah disampaikan kepada EXCO Pelancongan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Liow Cai Tung, hasil daripada kutipan penajaan dan derma Malam Sentuhan Kasih JASMINE.
Menurut pesakit kanser yang hadir Shahdariah Ismail, 38, sumbangan JASMINE kepada Yayasan Kanser Tunku Laksamana Johor telah dapat membantu meringankan beban pesakit kanser dalam membiayai kos rawatan kanser yang tinggi kepada mereka amat memerlukannya, termasuk diri beliau yang terpaksa mengeluarkan RM1500 sebulan untuk membeli ubat khas bagi rawatan sakit kanser.
Sementara itu Menteri Besar Johor, Dr Sahruddin Jamal berkata imej badan atau persatuan seperti JASMINE bukan hanya sinonim dengan kerja-kerja amal dan kebajikan, malah berdasarkan kejayaan pelaksanaan program yang telah dicapai sehingga hari ini, ia telah menjadi satu ikon yang melambangkan pengaruh dan kepimpinan wanita yang menyumbang kepada proses modenisasi dan pembangunan negara.
“Melalui dana yang terkumpul ini juga, JASMINE diharapkan dapat terus membantu golongan sasar dan golongan yang memerlukan perhatian kita.
“Semoga JASMINE beroleh kejayaan cemerlang pada masa-masa akan datang dan menjadi contoh terbaik bagi badan NGO yang lain di negeri ini,” ujarnya.