Skip to main content
Berita TempatanHomeKelantan

Tempa Tradisional, Warisan Seni Penjana Ekonomi

By 18 April 2019Tiada komen2 minit bacaan
Laporan/foto: Wan Noriza Wan Jaafar (Pasir Mas)

PASIR MAS, 18 Apr ( Malaysiaaktif ) – Menempa atau pandai besi adalah salah satu seni pembuatan barangan yang berasaskan besi atau logam seperti pisau, parang, golok serta lainnya.

Deraman Husein, 73, dari Kampung Padang Embong telah melibatkan diri dalam seni tempa lebih 45 tahun dan masih meneruskan aktiviti ini sehingga kini sebagai sumber ekonomi keluarga serta penerusan warisan seni tradisi.

Berbekalkan kemahiran yang diperoleh daripada pengalaman bekerja dengan tukang besi di kampungnya, kini Deraman telah berjaya mengusahakan sendiri bengkel tempa besi bersebelahan rumahnya.

Bagi menghasilkan sebilah pisau atau parang memerlukan bahan asas logam yang padu dengan takat lebur yang tinggi. Proses tempa bermula dengan membakar logam tersebut di dalam dapur khusus dengan kepanasan suhu yang mencecah 200 hingga 300 darjah selsius.

Pisau, golok dan sabit yang telah siap

Pisau, golok dan sabit yang telah siap

Logam yang dibakar berwarna merah seperti cairan api itu kemudiannya diketuk dan dibentuk menggunakan tukul besi. Proses ini akan berulang-ulang dan mengambil masa hampir tiga jam sehingga terbentuknya barangan tersebut.

“Proses seterusnya, mata pisau akan ditajamkan dengan mesin dan kemudiannya pisau ini akan direndam dalam air sejuk, barulah siap sebilah pisau.

“Cara tradisi ini semakin ditelan zaman dan kini tidak ramai anak muda yang mewarisi kerja seni ini lantaran peluang pekerjaan menjanjikan pendapatan yang lebih baik di bandar,” ujarnya.

Antara produk yang dihasilkan melalui seni tempa adalah seperti pisau, keris, parang dan sebagainya.

Menurut Deraman lagi, seni tempa secara tradisional memerlukan ketekunan dan ketelitian yang digabungkan dengan minat bagi menghasilkan produk yang bermutu.

Bangsal tempat menempa

Bangsal tempat menempa

Beliau dibantu oleh seorang pekerja, Mohd Fauzi Ismail, 45, berasal dari kampung yang sama.

“Golok, parang dan pisau biasanya ditempah oleh pelanggan yang datang sendiri ke rumah, harga sebilah golok bergantung kepada saiz golok tersebut, biasanya berharga antara RM80 hingga RM250 sebilah dan selebihnya akan dijual kepada peraih di Bandar Kota Bharu.

“Pakcik harap ada generasi muda akan mewarisi seni tempa parang, pisau dan golok ini dan pakcik akan memberi tunjuk ajar sekiranya ada yang berminat mempelajarinya agar seni tempa ini tidak luput ditelan zaman,” katanya lagi.

-NAZ

Tinggalkan komen anda