Skip to main content
Berita TempatanHomeKelantan

Fenomena “Beyblade” Mampu Pupuk Sosialisasi Kanak-Kanak

By 24 Mei 2019Tiada komen2 minit bacaan
Laporan/Foto: Siti Meriam Mohamad (Kelantan)

KOTA BHARU, 24 Mei (Malaysiaaktif) – “Beyblade” yang bermula dan dikenali di Jepun sebagai Bakuten Shoot Beyblade, merupakan siri komik yang dihasilkan oleh Takao Aoki untuk mempromosikan jualan mainan berupa gasing ajaib.

Siri anime ini mengisahkan tentang sekelompok anak-anak bertarung dengan menggunakan gasing-gasing canggih dan memiliki kekuatan-kekuatan tertentu.

Gasing moden atau lebih popular dengan jolokan nama “Beyblade” ini kembali menjadi trending dan fenomena serta semakin mendapat perhatian terutamanya dalam kalangan kanak-kanak selepas tayangan siri anime terbaru “Beyblade Burst” di televisyen.

Fenomena ini turut menarik minat dan mengimbas nostalgia kanak-kanak yang lahir pada tahun 1990-an hingga tahun 2003 yang kini berusia dalam lingkungan 25 tahun ke atas yang dahulunya menggilai siri anime seperti Beyblade V-Force sekitar tahun 2002 dan Beyblade G-Revolution pada tahun 2003.

Harga sebiji “Beyblade” sangat berpatutan bermula dari RM10 hingga RM30 yang dijual di pasar-pasar malam, kedai-kedai mainan dan pasar raya mengikut jenis dan aksesori.

Mohd Airell Idham sedang memilih beyblade yang diminatinya

Mohd Airell Idham sedang memilih beyblade yang diminatinya

Permainan ini boleh dimainkan oleh dua orang atau lebih. Cara permainannya mudah hanya perlu ada pemain, gelanggang atau Beystadium dan beyblade. Beyblade atau gasing yang paling lama bertahan di dalam gelanggang akan menjadi pemenang.

Manakala bagi kategori “Beyblade Burst” pula, pemain akan mendapat markah tambahan sekiranya berjaya membuatkan beyblade lawan “burst” atau tertanggal.

Izani Abdul Latif, 55, bapa kepada Mohd Airell Idham,11, salah seorang peminat “Beyblade” berkata permainan ini dapat mengurangkan aktiviti-aktiviti tidak berfaedah seperti ketagihan penggunaan gajet dalam kalangan kanak-kanak selain harganya juga mampu milik.

“Saya melihat permainan ini dapat mengembalikan fitrah asal kanak-kanak iaitu bergaul dan bersosial dengan berkumpul bermain bersama kawan-kawan untuk mengisi masa lapang, bukan hanya menghadap gajet,” ujar Izani Abdul Latif ketika ditemubual di Dataran Mara Kota Bharu.

“Perkara yang baik buat apa nak dihalang, saya juga menyokong penuh hobi anak-anak saya asalkan tidak mengganggu dan menjejaskan pembelajaran di sekolah,” tambahnya lagi.

Mohd Airell Idham Izani,11, berkata selain dari menjadikan permainan “Beyblade” sebagai hobi ianya turut memupuk semangat menabung.

“Walaupun ibu bapa saya memberi sokongan, saya turut menyimpan dan mengumpul sebahagian daripada wang saku persekolahan untuk saya membeli “Beyblade” yang berlainan jenis,” ujar Mohd Airell Idham.

Fenomena ini tular sehingga ada usaha sesetengah sekolah dan komuniti menganjurkan pertandingan “Beyblade” bagi mengisi aktiviti masa lapang kanak-kanak.

Jika dahulu permainan ini dianggap permainan biasa namun pada 21 April lepas, Lucas Ma,13, dari Kuala Lumpur telah menjuarai Pusingan Kelayakan Malaysia Kejohanan Beyblade Asia 2019 dan berjaya melayakkan diri mewakili Malaysia ke pertandingan seterusnya di Korea Selatan pada 26 Mei ini.

-NAZ

Tinggalkan komen anda